Seorang askar sepenuh masa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang ditemui mati di Kem Sembawang pada 2015, maut akibat luka tembakan. Demikian siasatan koroner diberitahu hari ini (19 Jan).
Satu bedah siasat mendapati bahawa Pravinraj Selvaraj, 20 tahun, kemungkinan meletakkan senapang di dalam mulutnya lalu melepaskan tembakan.
Siasatan itu mendapati Pravinraj disahkan mengalami kemurungan dan reaksi stres akut oleh para ahli psikiatri dari Institut Kesihatan Mental (IMH) pada Ogos dan September 2011. Pada kedua-dua masa, dia menyebut isu keluarga sebagai sebab dia mengalami masalah mental.
Pihak Koroner diberitahu bahawa Pravinraj, yang mempunyai dua adik lelaki dan ibu bapanya sudah bercerai, tidak mempunyai hubungan yang baik dengan keluarganya. Selepas kematiannya, ibunya mengakui bahawa Pravinraj “mendambakan kasih sayang keluarga namun tidak menerimanya daripada beliau mahupun (bapanya).”
Semasa satu temubual pada 2013, penyelia Pravinraj berkata remaja itu meluahkan minat untuk menjadi anggota perkhidmatan sepenuh masa, dan bertanya sama ada dia boleh diberikan penginapan. Rakan-rakan Pravinraj memberitahu para penyiasat bahawa dia kadangkala tidur di bawah blok dan pelantar tangga akibat masalah keluarga.
Pada pagi 21 November 2015, Pravinraj dan rakan kerjanya diberikan senapang ketika melaporkan diri bagi tugas pengawal di Kem Sembawang. Kedua-dua mereka turut diberikan lelopak peluru , satu dipenuhi peluru dan lagi satu kosong.
Pada 2.30 petang, Pravinraj berkata dia perlu ke tandas. Rakan kerjanya menunggu di luar sekitar 10 minit sebelum memanggil Pravinraj, yang berkata dia memerlukan lebih banyak masa.
Dua minit kemudian, rakannya itu terdengar bunyi “letupan kuat” dan berlari ke arah tandas sambil memekik nama Pravinraj. Tiada respons diberikan. Beliau melihat kesan darah pada siling dan serta merta memaklumkan ketua-ketuanya.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura dihubungi, dan para pegawai membuka kunci pintu kubikel dan menemui Pravinraj terbaring atas lantai dengan senapang dan sekeping kertas yang dironyokkan di antara kedua-dua kakinya.
Kertas nota itu menyatakan dia meninggalkan mesej di sebuah aplikasi di telefon bimbitnya. Para pegawai menemui nota panjang lebar dalam telefon bimbitnya yang menyatakan dia meninggalkan barangan miliknya kepada rakan karibnya dan memberitahu teman wanitanya bahawa dia mencintainya.
Siasatan menunjukkan bahawa Pravinraj menghantar gambar lima peluru kepada lima rakan karibnya beberapa jam sebelum dia mati, kata Penolong Superintendan Arun Guruswamy.
Siasatan forensik terhadap telefon bimbitnya juga mendapati dia melungsuri laman-laman berkaitan membunuh diri.
Koroner Negara Marvin Bay dijangka menyampaikan dapatannya hari ini.
Source: BeritaMediacorp