[Sewaktu] di Universiti al-Azhar, saya kembali dibawa untuk mempelajari sirah Nabi sekali lagi. Namun tidak lagi hanya dalam bentuk pembentangan fakta. Kami dibawa untuk membanding sumber-sumber sejarah yang berbeza, meneliti hujah dan dalil yang menjadi sumber pemberitaan sejarah yang ada, berfikiran kritikal dan analitikal terhadap peristiwa-peristiwa yang dikhabarkan, mengkaji sebab dan akibat dari setiap peristiwa, dan mengenalpasti pengajaran yang dapat dirumuskan daripadanya.
Kini, mungkin kerana faktor umur, atau mungkin kerana pembacaan-pembacaan saya, atau mungkin kerana pengalaman selama suku abad terlibat di dalam pelbagai isu agama di dalam kehidupan masyarakat, saya merasakan bahawa semakin saya membaca tentang sirah Nabi saw semakin saya terpesona dengan perwatakan baginda.
Menelusuri pelbagai peristiwa tegang dan peperangan yang banyak terjadi sepanjang sejarah baginda, saya dapati faktor konflik tidak lagi menjadi titik pemerhatian pusat yang memenuhi atau mempengaruhi minda saya. Yang lebih terserlah kepada saya kini ialah keunggulan keperibadian Nabi saw dalam peranannya sebagai pembimbing dan pemimpin di sebalik segala cabaran yang dihadapi. Baginda tetap optimistik dan berfikiran positif walaupun ada kalanya berhadapan dengan keadaan yang sangat getir. Baginda tidak pernah berputus asa menginginkan kebaikan walaupun untuk orang yang mengimpikan kesengsaraan terhadap baginda. Keanggunan akhlak mulia baginda tidak pernah pudar mahupun luntur biarpun tekanan demi tekanan yang diterima seakan-akan melenyapkan segala harapan yang ada. Di sebalik keteguhan jiwa yang dimiliki, kelembutan budi dan kehalusan bicara baginda tidak pernah berubah walaupun masa banyak mengubah apa yang ada di sekelilingnya. Jauh daripada sifat tergopoh-gapah ketika berusaha mengatasi krisis yang melanda, baginda malah senantiasa tenang mengatur strategi dengan kematangan serta kebijaksanaan yang menjadi contoh tauladan sepanjang zaman.
Inilah rahmah yang sebenarnya.
Iman tidak pernah dipohonkan untuk menjadi payung bagi mengelakkan insan daripada basah dihujani ujian Tuhan. Sebaliknya, iman digenggam bagaikan azimat untuk meneguhkan jiwa dalam berani menghadapi apapun cabaran yang menerpa, dengan keluhuran akhlak tidak tergugat dan kelembutan budi bicara tetap terjaga.
Sesekali tercubit hati terasa derita apabila ribut datang menjelma. Namun seorang mukmin tidak akan patah semangatnya. Kerana di sebalik kesedarannya bahawa dia hanyalah makhluk yang lemah, ada Tuhan yang diimaninya sebagai sumber kekuatan dan tempat pergantungan. Yang tiada iman menghiasi dada pula akan senantiasa mendabik dadanya, menyombong dan menyangka bahawa dialah yang hebat dan kuat berhadapan dengan apapun taufan mahupun gempa. Dia terlupa, pokok besar yang paling megah batangnya pun, akan mudah tumbang jika akarnya rapuh.
Imam al-Bukhari meriwayatkan sabda baginda Nabi:
مَثَلُ المُؤْمِنِ كَالخَامَةِ مِنَ الزَّرْعِ، تُفَيِّئُهَا الرِّيحُ مَرَّةً، وَتَعْدِلُهَا مَرَّةً، وَمَثَلُ المُنَافِقِ كَالأَرْزَةِ، لاَ تَزَالُ حَتَّى يَكُونَ انْجِعَافُهَا مَرَّةً وَاحِدَةً»
Bermaksud: Perumpamaan orang beriman adalah umpama tumbuhan yang berbatang lembut, ada ketikanya condong ditiup angin dan ada ketikanya pula kembali menegak. Sementara perumpamaan orang munafik pula adalah umpama pohon kayu yang berbatang besar, tetap keras menegak sehinggalah tercabut samasekali (dibantai ribut).
Salam bersambut mengundang ramah
Menyahut sungguh cinta yang jatuh
Pekerti yang lembut bukannya lemah
Yang besar angkuh menanti runtuh
Source: Fatris Bakaram