Jemaah Singapura Gembira Dapat Beribadah Dengan Lebih Selesa Di 3 Masjid Kampung

Bermula bulan ini, para jemaah yang berkunjung ke tiga masjid kampung dapat menikmati pengalaman beribadah yang lebih selesa.

Ini setelah Masjid Tasek Utara, Jamek Queenstown dan Hussein Sulaiman selesai menjalani kerja-kerja peningkatan.

BERITAMediacorp menjengah ke tiga masjid tersebut dan mendapatkan pandangan para jemaah tentang kemudahan dan prasarana baru yang disediakan.

Ruang solat yang diubah suai lengkap dengan penghawa dingin. Kawasan dalaman masjid yang lebih terang dengan tambahan lampu dan kipas angin, serta kawasan luar masjid yang lebih rapi, dan juga papan tanda nama masjid yang lebih besar.

Itulah antara perubahan yang dilalui Masjid Tasek Utara, yang boleh menampung 200 jemaah, selepas enam bulan ia ditutup bagi menjalani kerja-kerja peningkatan secara besar-besaran.

Kali terakhir masjid yang berusia 110 tahun itu menjalani kerja-kerja peningkatan adalah pada 2008 kepada kemudahan tandasnya.

Seorang jemaah masjid, Ahmad Mokhtar Mohd Shafi, berkata: “Alhamdulillah saya cukup bangga, saya rasa mengalir air mata sebab saya tak dapat bandingkan waktu dahulu. Alhamdulillah, orang yang datang sini tidak dapat menyangka tengok masjid ini banyak perubahan.”

Seorang lagi jemaah, Saifulbahri Rasno, berkata: “Tempat ruang solatnya begitu selesa sekali, begitu baik. Dan saya rasa sebagai seorang jemaah, Alhamdulillah dapat menunaikan solat Jumaat di sini dengan begitu selesa sekali.”

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim dan Mufti Dr Fatris Bakaram menyertai para jemaah untuk menunaikan solat Jumaat pertama selepas masjid tersebut dinaik taraf.

Menulis dalam Facebook beliau Dr Yaacob berkata dengan kerja-kerja peningkatan selamat dijalankan, para penduduk dan pekerja di sekitar Farrer Park dan Serangoon dapat beribadah dengan lebih selesa.

Dr Yaacob turut berkongsi rasa gembiranya bahawa dua lagi masjid lama dan kecil, Jamek Queenstown dan Hussein Sulaiman juga selesai menjalani kerja-kerja peningkatan.

Masjid Jamek Queenstown. (Gambar-gambar: Nity Farhana)

Masjid Jamek Queenstown yang dibina pada 1964 menjalani kerja-kerja peningkatan pada tempat mengambil wudhu serta ruang solat utama yang dilengkapi dengan penghawa dingin.

Manakala Masjid Hussein Sulaiman yang berusia 115 tahun pula melalui kerja-kerja peningkatan kepada ruang solat utama, rupa bentuk masjid juga bumbung masjid.

Namun sepanjang ia dipertingkat, kedua-dua masjid kekal beroperasi seperti biasa.

Kos keseluruhan kerja-kerja peningkatan kepada ketiga-tiga masjid melebihi S$977,000, sebahagian besarnya dibiaya Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).

Ketiga-tiga masjid itu merupakan antara sembilan masjid lama dan kecil yang terdapat di Singapura.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *