Inspirasi Buat Semua: Ibu Tunggal Pelajar Tertua Pakai Uniform ITE

Pada usia 49 tahun, Cik Siti Zarina Samsudin akur berasa agak janggal dan kekok kerana menjadi murid yang ‘paling tua’ di kelasnya. Ada juga guru yang mengajar lebih muda dari dirinya.

Pada usia 49 tahun, beliau menyarung pakaian seragam sekolah Institut Pendidikan Teknikal (ITE), sebagaimana pelajar-pelajar lain, yang rata-rata berusia belasan tahun. Namun, demi masa depan dan kebaikan diri dan keluarganya, Cik Siti Zarina terus berjuang dan mengetepikan perasaan ‘malu’.

Inilah satu lagi cerita pembakar semangat yang BERITAMediacorp ketengahkan sempena Hari Ibu hari ini (14 Mei). Yang pasti, Cik Siti Zarina layak digelar sebagai antara ibu mithali kerana semangat untuk membaiki diri demi keluarganya – kisah yang boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat bagi mengenang daya bingkas insan bernama Ibu.


DUNIA BERUBAH APABILA MENJADI IBU TUNGGAL

Selepas berpisah dengan suaminya, lebih 3 tahun yang lalu, Cik Siti Zarina yang merupakan suri rumah, terpaksa menerima gelaran ‘ibu tunggal’. Namun beliau tidak mengeluh. Beliau berfikir dan sedar beliau perlu terus maju ke hadapan dan memulakan hidup baru bersama 3 orang anak berusia, 19 (lelaki), 16 (lelaki) dan 8 tahun (perempuan).

Ketika itulah beliau mencari pekerjaan tetap dan akhirnya mendapat kerja sebagai pembantu hospital. Dengan wang yang diraih, itulah rezeki yang beliau gunakan untuk menyekolahkan anak-anaknya dan meneruskan kehidupan mereka sekeluarga. Menurut Cik Siti Zarina lagi, di hospital tempat beliau bekerjalah berjaya membuka matanya untuk terus mempelajari kemahiran baru walaupun sudah berusia.

Kemudian, bermula pada awal tahun ini, pada usia 49 tahun, Cik Siti Zarina tekad masuk semula sekolah secara sepenuh masa untuk menimba ilmu di ITE. Pada masa yang sama, sebagai sumber pendapatan keluarga, beliau antara lain berniaga secara kecil-kecilan di media sosial menjual beraneka shawl, tudung, aksesori dan keperluan wanita yang lain.

Malah lebih menarik lagi, Cik Siti Zarina juga boleh mengambil gambar dengan baik, dan menjadi jurugambar sambilan, terutama sekali untuk majlis-majlis terbuka dan menggunakan lensa yang besar. Menurutnya, fotografi adalah kemahiran yang baru ditimba selepas berpisah.


BERMULA DARI ‘ZERO’ , DAN DISINDIR

Beliau kini mengikuti kursus NITEC selama dua tahun, dalam jurusan Jagaan Masyarakat dan Khidmat Sosial di ITE kolej Timur, dan perlu menghadiri kelas setiap hari, dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Setelah berumahtangga selama 17 tahun dan kemudiannya bercerai, itu bukanlah sesuatu yang mudah pada saya. Saya harus memulakan kehidupan baru, bermula dari zero (kosong) kerana tiada pekerjaan, wang pendapatan, atau simpanan, semuanya perlu dilakukan sekarang dan seorang sendiri.

Itulah antara cabaran berlipat ganda yang perlu dipikulnya sebagai janda. Ini termasuklah segala tohmahan, sindiran, kata-kata nista yang menyelinap ke telinganya. Namun kata Cik Siti Zarina, beliau tetap reda.

“Ketika bekerja di hospital, saya melihat bagaimana para kaunselor telah memberikan nasihat dan sokongan kepala mereka-mereka yang memerlukan. Di situ terbuka hati dan saya berniat, untuk menjadi seperti para kaunselor ini,” cerita beliau.

Di situ jugalah terdetik di hati beliau untuk sama-sama menjadi antara insan-insan yang memberikan sokongan moral, di saat orang lain ditimpa kekecewaan dan permasalahan.

Beliau kini menanam satu tekad besar. “Selepas berhenti kerja di hospital, saya pun memulakan pengajian di ITE secara fulltime, dan selepas itu, saya berharap untuk menyambung lagi peringkat Diploma dan seterusnya, menggenggam segulung ijazah, insya-Allah,” jelas Cik Siti Zarina dengan bersungguh-sungguh kepada BERITAMediacorp.

Sebagai langkah permulaan, lantaran kematangannya, beliau kini sudahpun dilantik menjadi seorang mentor di ITEnya dan memberikan kata-kata perangsang atau juga nasihat kepada remaja dan teman-teman yang lain.


JADI ULAT BUKU PADA USIA SETENGAH ABAD

Selain itu, Cik Siti Zarina juga tekun mengerjakan kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial di waktu dalam dan luar darjah, dan akan turut melibatkan anak-anaknya jika mereka berkesempatan.

Wanita gigih ini juga suka menghabiskan masanya di perpustakaan, setiap minggu tanpa jemu, sama ada untuk mengulang kaji pelajaran mahupun sekadar membaca buku di hujung minggu bersama keluarganya. Bagi dirinya, buku adalah teman baik dan setia yang mesti dimiliki oleh semua orang, dan buku juga adalah ‘gedung’ ilmu yang mesti dicari dan dengan membaca juga, banyak ilmu yang oleh diperolehi tanpa berhabis wang.


“Bagi pendapat peribadi saya, wanita yang bergelar janda atau ibu tunggal, usahlah terus bersedih. Kita perlu bangkit dan teruskan kehidupan, memang tidak mudah seperti yang disangka, tetapi tetap boleh dilakukan. Janganlah takut mencari ilmu dan menimba kemahiran baru.

“Saya sendiri mengambil inisiatif untuk membaca ketika waktu lapang, dan dengan mengetahui bahan-bahan yang berguna dan informatif yang diperlukan, secara tidak langsung ia dapat menaikkan semangat serta motivasi diri kita sendiri. Alhamdullilah, saya rasa, kehidupan lebih positif; berubah sedikit-demi sedikit, dan ianya lebih bermakna dan saya lebih tahu hala tuju yang saya inginkan, baik untuk diri sendiri dan keluarga saya,” ujar wanita gigih ini lagi, mengongsi perjalanannya sekaligus menjadi contoh terbaik bagi anak-anaknya.

Untuk orang-orang seperti Cik Siti Zarina, ucapan Selamat Hari Ibu untuknya, pasti mempunyai pengertian berbeza sekarang.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *