Ia memang digemari ramai. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu, malah tidak mahu menyingsing lengan dan ‘berkelentang-kelentung’ di dapur untuk memasaknya – lebih-lebih lagi golongan muda. Itulah dilema dan kemungkinan juga suatu ‘krisis awal’ bagi makanan tradisi Melayu.
Apakah akan muncul senario di mana tiga suku orang Melayu tempatan yang tidak tahu memasak makanan tradisi Melayu pada dekad-dekad mendatang? Apakah makanan Melayu akan setakat berada dalam buku dan arkib sahaja, tetapi bukan amalan dan basahan?
Lantaran kesedaran tentang kemungkinan seperti itulah, tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang masakan Melayu, Aziza Ali, memutuskan untuk menghasilkan sebuah buku resepi warisan turun-temurun demi memperkenalkan generasi muda kepada juadah tradisional Melayu kita.
Buku ‘My Heritage Kitchen – The Culinary Art of Aziza Ali’ itu menonjolkan hidangan-hidangan warisan keluarga Cik Aziza, yang berketurunan Melayu berdarah campuran Jawa, Cina dan juga Arab.
Berucap di sidang media bagi memperkenalkan buku tersebut kelmarin (19 Jul), Cik Aziza melahirkan rasa bimbang bahawa generasi muda sekarang begitu terbiasa dengan makanan yang mudah dan segera. Maka itu, penting untuk masyarakat memastikan bahawa golongan itu kembali mengenali makanan Melayu dan “belajar makan” masakan tradisional Melayu.
“Jika tidak, ia akan dilupakan dan hilang,” tegas Cik Aziza, 68 tahun.
JENGKOL? JERING? TEMPOYAK? GETAS-GETAS? JADI ‘MAT SALLEH’?
Sebut sahaja makanan orang Melayu seperti jengkol, tempoyak, jering, rebung dan cincalok. Atau kueh seperti gandus dan getas-getas? Itu semua semakin menjadi ‘asing’ bagi generasi lebih muda. Itu jugalah yang mahu cuba diubah Cik Aziza, yang suatu waktu dahulu pernah mempunyai restoran mewah atau ‘fine dining’ Melayu yang pertama di Orchard Road.
Babat Jengkol antara resepi yang dikongsi oleh Cik Aziza. (Gambar: Petikan dari buku My Heritage Kitchen)
Buku terbarunya itu menjadi senjata. Diharapkan, menerusi buku itu generasi muda akan lebih mengenali bahan-bahan masakan tradisional yang mungkin jarang atau tidak pernah mereka dengar.
“Saya memperjuangkan budaya Melayu menerusi makanan kita. Inilah kekuatan saya. Saya sedang memperkenalkan budaya kita, khususnya makanan kita kepada generasi muda. Kalau tidak mereka akan terus menjadi ‘mat salleh’ dan ini amat menyedihkan.
“Saya sendiri gemar memasak makanan Eropah, malah makanan-makanan lain juga. Tetapi tidak melupakan makanan tradisional kita,” ujar Cik Aziza.
Buku terbaru Cik Aziza disokong oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), Muzium Negara Singapura, Akademi Globalchef at-Sunrice, Galeri Maya dan Restoran SERI.
Sebanyak 1,000 naskhah buku itu dicetak dan akan dilancarkan secara rasmi di Akademi Globalchef at-Sunrice esok (23 Jul).
IBU BAPA MESTI PUPUK DARI KECIL
Menjawab pertanyaan BERITAMediacorp tentang bagaimana untuk menarik generasi muda supaya minat mempelajari cara-cara menyediakan juadah tradisional kita, Cik Aziza berkata ibu bapa perlu memainkan peranan utama.
“Saya percaya bahawa apa saja yang (hendak diajarkan kepada anak-anak) perlu diterapkan sejak mereka kecil. Ibu bapa mesti memupuk minat dan meningkatkan kesedaran mereka kepada pelbagai jenis hidangan.
“Jangan dimulakan dengan sesuatu yang rumit atau sukar. Orang muda, apabila mereka mahu memulakan sesuatu, mereka perlu memulakan dengan yang mudah terlebih dahulu,” Cik Aziza memberitahu BERITAMediacorp.
Cik Aziza juga menekankan dua ciri utama yang perlu ada dalam diri seseorang sebelum mereka memulakan sesuatu yang baru – seperti belajar memasak untuk mendalami ilmu mengenai masakan tradisional Melayu – iaitu kesungguhan dan minat.
“Jika anda mempunyai kesungguhan dan minat, anda akan dapat melakukannya dengan betul. Apabila anda mempunyai tekad yang kuat, minat akan bertahan selama-lamanya. Jika anda mahu melakukannya, tetapi tiada kesungguhan, hasilnya tidak akan memuaskan. Namun, walaupun anda tidak tahu memasak, tetapi ada minat, anda boleh pergi jauh. Tidak ada apa pun yang mustahil,” tambah Cik Aziza.
BUKU MASAK UNIK, BELUM PERNAH DIBUAT ORANG – 20 LUKISAN DALAM BUKU MASAK!
Selain menawarkan lebih 70 resepi warisan dari empat keturunan – Melayu, Jawa, Cina dan Arab – dalam satu buku berbahasa Inggeris, ‘My Heritage Kitchen The Culinary Art of Aziza Ali’ (Dapur Warisan Saya – Seni Memasak Aziza Ali) – yang merupakan buku beliau yang keempat – turut menonjolkan beberapa ciri unik.
Mungkin ini belum pernah dibuat orang, tetapi buku resepi itu memuatkan sebanyak 20 koleksi lukisan Cik Azizah.
“Buku ini istimewa. Amat istimewa berbanding buku-buku lain kerana saya memuatkan lukisan-lukisan saya dan ini belum pernah dilakukan sebelum ini,” ujar Cik Aziza. Beliau memberitahu BERITAMediacorp “saya selalu mahu menjadi yang pertama melakukan sesuatu”.
Salah satu lukisan Cik Aziza dalam buku terbarunya.
Sebelum ini, Cik Aziza pernah menulis buku Aziza’s Creative Malay Cuisine (2001) dan Sambal Days, Kampong Cuisine (2013). Beliau juga pernah terlibat dalam penghasilan buku A Village Remembered – Kampong Radin Mas 1800s – 1973 (2013).
Menerusi buku terbaru itu para pembaca juga diajak mengenali keluarga Cik Aziza, di samping mengimbau kenangan-kenangan menarik semasa beliau membesar dan bagaimana sikap telaten serta kesenian ibunya dalam menyiapkan sesuatu hidangan mencetuskan minat yang mendalam bagi dirinya.
Source: http://berita.mediacorp.sg