Johor Tahan 21 Pengikut Syiah Di Ulu Tiram, Termasuk 3 Warga Singapura

Seramai 21 individu termasuk 3 warga Singapura dipercayai pengikut ajaran Syiah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dikenali sebai Hauzah Syiah di Ulu Tiram, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Amran A Rahman berkata, kesemua mereka lelaki, berusia antara 21 hingga 67 tahun, ditahan ketika sedang menghadiri 1 majlis berkaitan fahaman itu.

Beliau berkata, serbuan oleh 34 anggota bahagian penguatkuasaan JAINJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 10.05 malam itu, turut merampas beberapa bahan berkaitan ajaran berkenaan termasuk buku ajaran Syiah, batu karbala dan kain rentang berunsur syiah.

“Serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan jabatan itu bersama Cawangan Khas PDRM selama tiga bulan. Kami percaya rumah tersebut dijadikan hauzah Syiah kerana dilihat aktif menjalankan majlis berkaitan fahaman itu seminggu sekali atau dua kali,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amran, ketika serbuan, kesemua mereka sedang menghadiri majlis memperingati kematian Saidina Hussain (cucu Rasulullah SAW) yang jatuh pada 10 Muharam setiap tahun yang mana pengikut Syiah menjadikan tarikh itu sebagai hari untuk berkabung dan menunjukkan kesedihan.

“Sejak tahun lepas, kita sudah membuat serbuan sebanyak 2 kali. Pada serbuan kali kedua ini, 8 lelaki kita dapati telah pernah ditahan atas kesalahan yang serupa pada serbuan kali pertama,” kata beliau.

Justeru itu, beliau berkata pemantauan akan terus diadakan pada lokasi-lokasi yang dipercayai aktif dalam menjalankan aktiviti berkaitan fahaman syiah dan turut dijadikan Hauzah Syiah.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 iaitu mengingkari pihak berkuasa agama yang dinyatakan melalui fatwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.

Kesemua mereka dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JAINJ untuk disoal siasat.

 

Source:http://www.freemalaysiatoday.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *