ARS Diwajibkan Bagi Semua Asatizah Mulai 1 Januari

Di rapat umum Hari Kebangsaan semalam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menyentuh tentang langkah mewajibkan Sistem Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Mengulas, beberapa pemimpin berkata langkah itu penting bagi mengelak sebarang percanggahan atau kekeliruan di kalangan para asatizah serta masyarakat Islam tempatan.

Dalam ucapannya di rapat umum semalam (21 Ogos), PM Lee mengalu-alukan langkah mewajibkan ARS, sambil memuji masyarakat Melayu/Islam kerana mengambil langkah dalam menangani masalah fahaman radikal.

Ini berikutan penahanan beberapa rakyat tempatan baru-baru ini yang dikatakan menjadi radikal setelah dipengaruhi ideologi-ideologi ekstrimis dari luar.

Maka itu, Encik Lee menekankan penting bagi semua asatizah memahami konteks Singapura yang berbilang kaum dan agama dan aspek itu akan diterapkan dalam skim ARS yang dipertingkat.

“Saya rasa ini menunjukkan yang masyarakat kita juga prihatin tentang isu-isu yang dihadapi masyarakat kita dan negara kita dan mahu sama-sama berganding bahu dengan pemerintah untuk menangani masalah ini supaya kita dapat teruskan hidup dengan sejahtera dan kuatkan lagi perpaduan antara masyarakat,” Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin memberitahu BERITAMediacorp.

Skim Pengiktirafan Asatizah mula diperkenalkan pada 2005.

Penyertaannya tidak diwajibkan dan setakat ini, sekitar 80 peratus asatizah menerima pentauliahan di bawah ARS.

Namun mulai 1 Januari tahun depan, skim pengiktirafan itu akan diwajibkan ke atas semua asatizah tempatan.

Mereka akan diberi tempoh selama setahun untuk mendapatkan sebarang pensijilan yang diperlukan. Ini termasuk diploma dalam pengajian Islam dari mana-mana institusi yang diiktiraf.

Menurut Mufti negara, Muis akan bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu seperti PERGAS serta Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) untuk memastikan sistem itu tidak dipergunakan oleh golongan yang mahu mengambil kesempatan.

“Dalam suasana dunia pada hari ini, pastinya kita tidak mahu mereka yang tidak mempunyai kelayakan, kemahiran, latihan, pengetahuan yang sewajarnya untuk sewenang-wenangnya memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan agama sehingga akhirnya menyebabkan salah faham, kekeliruan dan ini memberi risiko yang sangat besar kepada kehidupan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama,” kata Mufti Negara Ustaz Dr Fatris Bakaram.

Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pula berkata mewajibkan ARS ke atas semua asatizah penting agar percanggahan tidak timbul di kalangan mereka.

“Kita punya guru-guru agama itu, belajar dari beberapa negara, banyak negara. Bila mereka kembali ke sini, mereka membawa ilmu-ilmu yang ingin disampaikan. Tapi masalah yang kita perhati, dalam konteks Singapura, bagaimana kita hendak menyampaikan? Mungkin kalau kita sama sendiri tak mengatur sesuatu, maka kita sama sendiri akan bercanggah dan bila bercanggah, fahaman kita, pemikiran kita, mazhab kita, kita tak dapat membimbing masyarakat kita ke jalan yang sepatutnya. Begitu juga kita kena faham dalam hidup masyarakat majmuk, masyarakat plural, negara yang sekular. Jadi kita perlu pandang dari semua aspek dan kita tidak mahu, akhirnya nanti mereka menyalahkan ajaran Islam,” menurut Pengerusi Bersama RRG Ustaz Ali Mohamed.

Tambahnya lagi, guru-guru agama di sini perlu menerima perubahan itu dengan fikiran yang terbuka kerana ia bukanlah suatu perkara yang merugikan.

Bahkan langkah itu mampu membawa lebih kebaikan kerana para asatizah akan dilihat lebih berwibawa, dinamik dan dapat memberi bimbingan agama yang lebih baik.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *