Adab dan etika dalam perhubungan sesama insan penting dalam Islam. Ini termasuk dalam urusan kita bersama mereka yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Garis pandu Agama
– Memberi penghormatan sewajarnya kepada jenazah termasuk dalam ajaran etika agama. Nabi saw bersabda: “Apabila kamu melihat iringan jenazah, maka berdirilah menghormatinya sampai iringan jenazah itu lalu dan meninggalkan kamu atau sampai dia diletakkan dalam kubur.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
– Antara ajaran Islam berkaitan memberi penghormatan kepada jenazah bukan Muslim ialah:
- MENGHADIRI UPACARA PENGHORMATAN JENAZAH
– Rasulullah saw menganjurkan supaya kita berdiri apabila jenazah lalu di hadapan kita sebagai tanda hormat.
– Dalam suatu hadis diriwayatkan bahawa
‘… Rasulullah saw telah berdiri apabila jenazah lalu di hadapan Baginda, maka telah diberitahu kepada Baginda bahawa jenazah itu ialah jenazah seorang Yahudi, Baginda menjawab: “Bukankah ia juga satu jiwa (yang layak diberi penghormatan)”.’ (Hadis riwayat Imam Bukhari).
– Oleh itu, kita dibolehkan menghadiri upacara penghormatan jenazah.
– Sekiranya terdapat ritual berunsur keagamaan dalam upacara itu, seseorang Muslim tidak boleh melakukan ritual itu.
– Bagi upacara umum yang tidak melibatkan unsur keagamaan dan seseorang hanya menundukkan kepalanya sedikit (tidak sehingga tahap rukuk atau sujud) sebagai tanda penghormatan kepada jenazah, perbuatan itu harus dan dibenarkan.
- MENYAMPAIKAN TAKZIAH
– Mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dibolehkan. Kita juga digalak mendoakan kesejahteraan serta ketabahan buat ahli keluarganya.
- MENGINGATI KEBAIKAN
– Kita digalak mengingati kebaikan si mati, mengenang jasa dan pengorbanannya. “Apabila seseorang mengungkapkan kata-kata kesat terhadap jenazah, maka dia sebenarnya menyakiti mereka yang masih hidup.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi).
Source: http://beritaharian.sg