Beraya Solo Dengan Air Mata Syawal

Lampu lap-lip di luar rumah Encik Rafi Hassan berkerdipan indah di malam hari, menyambut Lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi. Beberapa botol kuih Raya sudah pun tersaji.

Bagaimanapun, setiap kali suara takbir bergema, sebak terasa di dadanya mengenangkan ibu bapa dan nenek yang sudah tiada.

Anak tunggal dan bujang berusia 42 tahun itu sudah biasa hidup menyendiri. Yang dianggap teman penawar duka di rumah tiga biliknya di Tampines Street 41 ialah tiga kucing yang cukup manja lagi jinak, menyambut kedatangan penulis. Flat itu sudah dimilikinya sejak beliau berusia 29 tahun lagi.

Namun, di ambang 1 Syawal, Encik Rafi, seorang penyelia di syarikat pelancongan, menanti peluang keemasan beraya di kampung ibu saudaranya di Senggarang, Batu Pahat. Sudah lama desa yang sudah dilengkapi dengan kemudahan tandas itu tidak dikunjunginya.

Sebagaimana ceritanya dalam pertemuan lebih sejam baru-baru ini:

“Mak cik saya selalu prihatin dan bertanya, ‘Rafi, kau beraya di mana?’ Saya pun terfikir seronok betul kalau saya balik kampung dan rasakan semangat gotong-royong di malam Raya! Lagipun di sana masih ada botol oren dan Sarsi macam zaman saya kanak-kanak dulu.

“Saya akan tolong mengemas rumah, potong bahan memasak lauk-pauk Lebaran. Maklumlah saya ni suka memasak dan tak kekok di dapur. Cuma menganyam ketupat sahaja saya tak boleh diharap! Nak bakar kuih pun tak ada kesabaran. Pernah cuba bakar kuih tart, tapi semuanya ranap dan hangus!”

Encik Rafi kehilangan ibunya yang bisu, Cik Aisa Bee Ismail, sewaktu usianya semuda 18 tahun. Ibunya, yang cekal dan bersemangat waja, menghidap tekanan darah tinggi dan meninggal dunia pada usia 47 tahun.

Bapanya, Encik Hassan Bakar, yang menetap di rumah jagaan warga senja dan pesakit kronik pula pergi menyahut seruan Ilahi pada usia 64 tahun sekitar tiga tahun lalu.

SUARA TAKBIR

“Saya memang rindukan mak dan menitis air mata apabila mengenangkannya yang sudah lebih 20 tahun tiada. Ingat lagi saya tatkala ada mak cik panggil mak ‘si pekak’ di sekolah saya dulu. Saya mengamuk tak terima, bahkan sempat tarik baju mak cik tu, marah kerana mak saya dipersenda.

“Kadang macam berat nak dengar suara takbir sebab pastinya kenangan bersama mak muncul di ruang minda. Sewaktu arwah ayah ada, sekurang-kurangnya saya terhibur juga walaupun beliau dirawat di rumah jagaan. Dapat bawa dia bersiar-siar pada Hari Raya pertama.

“Terus terang saya katakan, hilang mood nak beraya selepas kehilangan kededuanya dan nenek saya. Tapi apabila difikirkan kembali saya tak harus biarkan kesedihan saya berterusan. Saya masih ada mak cik dan saudara-mara lain khususnya yang lebih tua untuk dikunjungi.

“Kadangkala teman-teman pun undang saya ke rumah mereka. Cuma saya akui timbul sekelumit kesedihan apabila melihat orang lain beraya bersama isteri dan anak-anak mereka. Tapi, apabila fikirkan betapa saya sudah biasa hidup bersendiri dan bebas membuat pilihan baju, perhiasan rumah dan kuih-muih tanpa merujuk pada orang lain, kelegaan timbul serta-merta,” ceritanya.

Ditanya tidakkah saudara-maranya mendesak agar beliau segera menamatkan zaman bujang, Encik Rafi, yang juga terlibat dalam bidang peragaan pakaian pengantin, bahkan pernah menyertai peraduan Senior Manhunt, menambah secara berseloroh:

“Saya tak berkecil hati dengan soalan mak cik saya yang prihatin. Malahan, saya selalu bergurau dengan mereka. Saya kata, ‘Tak ada anak dara yang sanggup menikahi saya sebab mereka tak mampu sediakan hantaran $50,000 serba satu!’

“Kalau sampai masanya, mak cik tinggal datang saja ke majlis ringkas saya di Pejabat Pendaftaran Pernikahan. Bakal isteri saya pun tak perlu susah payah. Tinggal bawa beg pakaian dan menetap di sini. Dah tak ada mak mentua garang pun yang akan mengawasi mereka sebab saya ni anak yatim.”

Lawak jenaka menjadi penawar dukanya. Masanya sering disibukkan dengan tugas serta menyertai peraduan memperaga pakaian. Beliau juga pernah menerima tawaran mengacara di beberapa majlis rasmi dan berharap dapat mengendalikan bengkel etika keyakinan diri buat anak Melayu suatu hari nanti.

Bagaimanapun, di sebalik senda guraunya itu, ada perkara bermain di fikirannya. Katanya mengakhiri perbualan kami:

“Harapan saya pada Syawal nanti, dapatlah saya menikmati kemeriahan beraya di kampung dalam suasana yang berbeza daripada sambutan di Singapura.

“Jerih payah saya berdikari dari usia muda menjadikan saya lebih cekal dan yakin meneruskan kehidupan saya tanpa mengira apa tanggapan orang terhadap diri saya atau status saya. Tak semestinya kita hidup membujang hidup kita kurang bahagia. Ada juga teman yang berumah tangga tapi tidak sehati sejiwa dengan pasangan mereka, lantas menjejas keceriaan beraya.

“Saya belajar erti kerja keras dari bawah. Saya juga hargai erti persahabatan dan membantu orang mana yang termampu. Sungguhpun begitu, saya mengharapkan yang terbaik agar kesihatan saya terpelihara kerana baru-baru ini, doktor khuatir saya ada masalah jantung tersumbat apabila terasa mengah semacam. Tak pasti adakah saya perlu jalani pembedahan.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *