20,000 Lebah Serang Masjid Arizona, Jemaah Bertempiaran Lari

Para jemaah lari bertempiaran apabila sehingga 20,000 lebah berbisa keluar daripada sarangnya dan menyerang sebuah masjid di Phoenix, Arizona.

Menurut laporan The Independent, lebah jenis amat berbisa itu menyengat 15 orang, dan salah seorang daripada mereka, lelaki berusia 24 tahun, dimasukkan ke hospital setelah diserang.

Beberapa lagi orang dipindahkan daripada masjid itu dengan ambulans, sambil menutup kepala mereka dengan selimut, menurut laporan itu.

Menurut ABC15, semua yang terjejas kini dalam keadaan stabil, namun pihak berkuasa mungkin boleh menjangkakan lebih banyak serangan kerana bulan April ialah permulaaan musim lebah.

The Independent melaporkan bahawa pihak berkuasa menutup sebuah jalan raya yang sibuk dengan kenderaan berhampiran tempat itu, dan memberitahu orang ramai supaya duduk di rumah kerana lebah masih terus berkeliaran ke sana sini, bahkan sesetengah lebah itu masih hinggap kepada sarang lebah madu.

DISENGAT 2,000 KALI

Masalah lebah di Arizona merupakan masalah yang berlarutan, menurut laporan tersebut. Pada Jun tahun lalu, seorang lelaki berusia 84 tahun disengat lebih 2,000 kali di tamannya.

Tiga ekor anjing dilaporkan disengat hingga mati pada musim panas yang sama.

Lebah-lebah tersebut, menurut The Independent, merupakan hibrid lebah madu Eropah dan Afrika, iaitu hasil satu eksperimen baka kacukan di Brazil. Lebah-lebah itu membiak di iklim lebih panas dan berleluasa di negeri seperti Arizona, New Mexico dan Texas.

Jika salah sebuah sarang lebahnya diganggu, lebah berkenaan boleh menjadi amat agresif.

“Mereka bencikan sebarang pergerakan, bunyi, atau getaran. Mereka bencikan segala-galanya,” kata Encik Reed Booth, pemilik sebuah perniagaan penghapus lebah di Arizona kepada Associated Press.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *