Bapa Dan 2 Anak Lelaki Dicekup Kerana Mencuri, Pecah Rumah

Kata orang, keluarga yang makan bersama atau sembahyang bersama, akan sentiasa bersama.

Bagi tiga beranak ini – seorang bapa dan dua anak lelakinya – mereka bukan sahaja makan bersama, tetapi juga mencuri dan merompak bersama – termasuk mencuri lori.

Kini mereka juga ditangkap secara bersama-sama serta sama-sama masuk lokap dan kemudian akan masuk penjara sama-sama, setelah kegiatan jenayah mereka terbongkar.

Mereka dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan samun di negeri Perlis dan Kedah.

Penjenayah tiga beranak itu diberkas di Kedah minggu lepas.

DIBERKAS DI RUMAH

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Perlis, Supt Azahar Muda berkata tiga beranak itu diberkas di rumah mereka di Kampung Pida, Kodiang.

Beliau berkata pihak polis turut menemukan barang-barang curi antaranya sebuah lori, sebuah motosikal, sebuah televisyen dan beberapa peralatan pecah rumah.

Lori tersebut dilapor hilang semasa sebuah stor kilang aluminium di Jitra, Kedah dipecah masuk, katanya kepada pemberita hari ini.

ANAK BERANAK BANYAK REKOD JENAYAH

Azahar berkata bapa tersebut yang berumur 47 tahun dipercayai menjalankan
kegiatannya sejak 10 tahun lepas di Kedah dan Perlis serta mempunyai lima rekod
jenayah lampau.

Beliau berkata anak lelaki suspek yang berumur 24 tahun mempunyai sembilan
rekod manakala yang berumur 17 tahun mempunyai enam rekod jenayah.

Katanya tiga beranak itu dipercayai turut terbabit dalam kes pecah peti besi pejabat Pertubuhan Peladang Padang Siding di Arau pada 4 Julai lepas.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *