Anak Angkat Wajib Dinasabkan Kepada Orang Tua Kandungnya

family-together-in-color

SOALAN

Saya memberi seorang anak perempuan kami kepada kakak suami saya yang tidak ada anak untuk dijadikan anak angkat.

Nama bapa kandungnya telah ditukar ke nama bapa angkatnya. Apakah hukum perbuatan ini?

Anak itu sudah dewasa. Hati kami suami isteri amat luka apabila anak itu tidak mempedulikan kami ketika bertemu dalam satu majlis perkahwinan.

Suami saya amat kecewa sehingga beliau mengeluarkan kata-kata akan melupakan sahaja anaknya itu dan menganggap anaknya sudah tiada lagi dalam hidupnya.

Saya harap ustaz dapat memberi komen mengenai sikap suami saya itu.

JAWAPAN DARI Ustaz Mohamed Salehin Mohamed Deros

Anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah. Namun, pasangan yang tidak mempunyai anak ada jalan keluar dengan mengambil anak angkat dengan cara yang ditetapkan oleh syariat Islam.

Pada zaman dahulu, masyarakat Arab mempunyai kebiasaan mengambil anak angkat yang kemudian diberi status yang sama seperti anak kandung.

Ini sehinggakan nasab, atau keturunan, anak itu diubah daripada ibu bapa asal kepada ibu bapa angkat. Dengan itu, semua hubungan nasab anak angkat itu berpindah ke ibu bapa angkat.

Anak angkat itu boleh saling mewarisi harta pusaka, menjadi mahram, menjadi wali nikah dan mempunyai hak dan hukum yang sama anak kandung.

Ini menjadi aturan umum dan amalan masyarakat Arab termasuk semasa Rasulullah saw sendiri, sebelum menjadi nabi, menjadikan bekas budaknya, Zaid, anak angkat beliau.

Orang ramai memanggil beliau sebagai Zaid bin Muhammad, sedangkan ayah kandungnya bernama Haritsah.

Ibnu Umar mengatakan: “Kami tidak pernah memanggil Zaid bin Haritsah tetapi Zaid bin Muhammad sehingga Allah menurunkan firmannya dalam Surah Al-Ahzab ayat 5.” (Riwayat Al-Bukhari)

Ayat itu bermaksud: “Panggillah mereka (anak-anak angkat) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; Itulah yang lebih adil di sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, panggillah mereka sebagai saudara-saudaramu seagama atau maulamu (tuan). Tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang berdosa ialah) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Ahzab: 5)

Ayat ini sekali gus menghapuskan amalan menasabkan anak angkat kepada bapa angkat. Ia mewajibkan nasab anak angkat ditukar daripada bapa angkat kepada bapa kandung.

Ia juga memansuhkan amalan saling mewarisi dan membatalkan status mahram, wali nikah dan sebagainya antara anak angkat dan keluarga angkatnya.

Bahkan Rasulullah saw memberi ancaman sangat keras bagi orang yang mengubah nasab anak angkat.

Dalam hadis daripada Sa’d, Nabi saw bersabda: “Siapa yang mengaku anak seseorang (sebagai anaknya) sedangkan dia tahu dia bukan bapanya maka syurga diharamkan baginya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, anak angkat wajib dinasabkan kepada orang tua kandungnya, baik dalam masyarakat mahupun catatan sivil.

Selain itu, ibu bapa angkat perlu faham tanggungjawap mengambil anak angkat, terutama perkara berkaitan hukum agama, supaya niat suci memelihara anak dan menumpang kasih dengan menjadikan anak itu ahli keluarga mereka tidak mendatangkan fitnah.

Keluarga yang mempunyai atau merancang mengambil anak angkat mesti tahu dan faham hukum agama berhubung perkara ini.

Antara lain, anak angkat dan keluarga angkat bukan mahram kecuali anak angkat yang disusukan ibu angkat dan menjadi anak susuan.

Begitu juga dari segi batasan hubungan, bapa angkat tidak boleh menjadi wali dan ibu bapa, anak dan adik-beradik angkat perlu menjaga aurat antara mereka.

Keluarga angkat juga perlu mendidik anak angkat dengan akhlak mulia. Ini lebih-lebih lagi sikap menghormati ibu bapa kandung kerana mereka tetap keluarganya, boleh mewarisi dan diwarisi, kekal sebagai mahram, mempunyai hak dan hukum yang sama sebagaimana anak kandung.

Jika anak angkat diberi kepada keluarga angkat atas dasar belas ihsan, keluarga angkat perlu menunjukkan rasa bersyukur dan terima kasih atas pengorbanan besar keluarga kandung.

Selain itu, ibu bapa kandung juga perlu mengambil tahu akan hal ehwal anak mereka yang telah diberi sebagai anak angkat, cuba memberinya sokongan dan didikan sempurna, sekalipun tidak secara langsung, misalnya melalui ibu bapa angkat.

Usah berputus asa mendidik anak-anak kerana mereka tetap anak kita walaupun betapa buruk perangai mereka.

Mohonlah kepada Allah tanpa henti agar anak itu diberi hidayah dan petunjuk daripada-Nya.

Penulis Mohamed Salehin Mohamed Deros ialah penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau berkelulusan Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Kuwait

letters R1C

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *