Amalina Ridzuan Dan Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican Ditabal Sebagai Jauhari Harapan

MEREKA mencipta sejarah beberapa bulan lalu sebagai dua pelajar madrasah pertama yang berjaya melangkah ke Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS), menerusi laluan politeknik.

Semalam, Cik Amalina Ridzuan, 22 tahun, dan Encik Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican, 20 tahun, ditabal sebagai Jauhari Harapan masyarakat Melayu/Islam – kali pertama anugerah yang diperkenalkan Berita Harian pada 2013 itu diberi kepada dua penerima.

Sedang masyarakat memuji dan menjadikan kisah kejayaan mereka sebagai contoh dan harapan, kededua anak muda itu terus berpijak pada bumi nyata.

Mereka sedar, banyak mata tertumpu pada mereka dan ingin melihat mereka berjaya.

“Kami tiba-tiba menjadi contoh kepada pelajar lain, jadi kami perlu berkelakuan dan menunjukkan contoh yang baik. Kami perlu belajar dengan gigih dan kami harus berjaya. Kami perlu menjaga reputasi madrasah dan politeknik kami,” kata Encik Ahmad, bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan Politeknik Singapura.

Beliau, yang lulus Diploma Sains Bioperubatan dengan Mata Gred Purata (GPA) 3.94 daripada gred penuh 4, berharap lebih ramai pelajar madrasah dan sekolah kejiranan kini lebih terdorong mencapai cita-cita mereka.

“Kita boleh menjadi siapa sahaja yang kita mahu asalkan kita bekerja keras,” kata Encik Ahmad yang sedang menjalani perkhidmatan negara (NS) dan akan memulakan kursus perubatannya pada Ogos tahun depan.

Bagi Cik Amalina pula, Anugerah Jauhari Harapan yang mengiktiraf pencapaian dan potensi individu Melayu/Islam bawah 30 tahun menjadi pendorong baginya agar terus melakukan yang terbaik di menara gading.

Beliau, yang sudah memulakan pengajian minggu lalu, berkata ada banyak yang perlu dihafal dan pengajian lima tahun akan datang dijangka ‘berat’ dan mencabar.

“Namun setelah mengikuti kuliah selama seminggu, saya semakin yakin bahawa inilah bidang yang ingin saya ceburi,” kata Cik Amalina, bekas pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan kemudian lulus Diploma Sains Bioperubatan di Politeknik Temasek dengan GPA 3.98.

Tekanan tidak dapat dielakkan, katanya, lebih-lebih lagi apabila melihat beliau perlu bersaing dengan pelajar lain yang merupakan bekas pelajar sekolah elit.

Namun beliau mempunyai strategi – kekal konsisten sepanjang tempoh pengajian dan usaha lebih kuat jika mendapati dirinya ketinggalan di dalam kelas.

“Bagi saya, jika kita mempunyai minat terhadap sesuatu, kita harus berusaha sedaya upaya untuk mencapainya. Usah biarkan halangan mematahkan semangat kita dan membuat kita fikir kita tidak mampu melakukannya,” kata Cik Amalina.

Beliau dan Encik Ahmad masing-masing menerima trofi dan cek $5,000 sumbangan Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) di majlis penyampaian anugerah, semalam.

Ini tahun ketiga MDIS menaja sumbangan wang tunai kepada penerima Anugerah Jauhari Harapan bagi meraikan pencapaian cemerlang individu dalam masyarakat Melayu/Islam.

“Di MDIS, kami percaya dalam mengiktiraf pencapai muda (young achievers) dan mendorong mereka agar berjaya dalam kehidupan. Anugerah Jauhari Harapan adalah satu cara memberi pengiktirafan kepada individu muda yang layak yang mempunyai bakat luar biasa untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka,” kata Setiausaha Agung MDIS, Dr R. Theyvendran.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *