Alhamdulillah, telah berlalu hampir 4 bulan sejak saya diizinkan Ilahi waktu berkempen di pilihanraya yang lalu untuk menyuarakan isu-isu diskriminasi terhadap penduduk Singapura yang berbangsa Melayu dan beragama Islam seperti hak kebebasan beragama dalam memakai tudung untuk wanita Melayu dan kaum lain yang beragama Islam sewaktu menjalankan tugas sebagai seorang jururawat. Malangnya masih belum terdengar apa-apapun perubahan dasar yang akan dibuat untuk membetulkan ketidak-adilan ini. Isu ini menjadi sesuatu keaiban kepada maruah kita sebagai orang Melayu dan orang Islam yang tidak mampu membela hak segolongan wanita kita yang ingin bertudung sambil berkerjaya sebagai seorang jururawat. Diskriminasi ini adalah suatu perkara yang di luar kefahaman rasional kerana tidak ada sebab yang munasabah samada daripada aspek kebersihan mahupun dari aspek sosial yang boleh mempertahankan suatu dasar yang begitu kuno di zaman moden ini.
Kebelakangan ini, pemerintah Singapura telah menunjukkan teladan yang sangat mengalakkan dengan penerimaan AP Melayu wanita PAP yang bertudung untuk menerajui sebahagian kepimpinan Negara. Namun pada masa yang sama menjadi suatu keanehan apabila wanita lain yang berbangsa Melayu ataupun kaum lain yang beragama Islam, masih lagi tidak dibenarkan bertudung semasa bertugas sebagai seorang jururawat mengikut dasar yang masih wujud oleh pihak-pihak yang berkewajiban. Alasan pakaian seragam jururawat sebagai halangan adalah suatu yang kurang peka dan sangat memperbodohkan kita yang berfikiran rasional kerana negera-negara yang lebih maju di barat telahpun menerima pemakaian tudung sebagai seragam seorang jururawat tanpa halangan kepada tugas profesionalnya. Alasan lain seperti kekuatiran ianya akan menimbulkan sifat kurang senang oleh para pesakit langsung tidak logik memandangkan betapa biasanya seorang wanita Islam yang bertudung boleh kelihatan di masyarakat umum. Malahan Dokter wanita Islam yang ingin bertudung dibenarkan tanpa masalah di hospital-hospital Singapura sekarang ini. Tiada bukti langsung untuk alasan keberadaan jururawat wanita Melayu atau dari kaum lain yang bertudung akan menimbulkan keresahan dan tidak senang oleh kaum lain. Malah alasan ini seolah-olah beranggapan kaum lain sekarang merasa kurang senang apabila melihat wanita Melayu Islam secara umumnya bertudung yang berlaku dalam banyak lagi kerjaya lain seperti guru-guru di sekolah pemerintah dan sebagainya.
Baru-baru ini pemerintah Singapura telah menanda-tangani Konvensyen bagi Membasmikan Semua Jenis Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) pada 19 Oktober 2015. Sebagai rakyat Singapura yang berbangsa Melayu dan beragama Islam saya mengalu-alukan tindakan ini, kerana ia membuka peluang untuk kita mengubah dasar-dasar pekerjaan dan lain-lain yang bersikap diskriminasi kepada orang Melayu Singapura. Sekarang telah tiba masanya untuk tindakan dalam bentuk perlaksanaan dengan membasmikan dasar-dasar pekerjaan yang terang-terang besifat diskriminasi terhadap wanita Melayu dan wanita kaum lain yang beragama Islam dari bertudung sebagai seorang jururawat.
Kali ini, Rakyat Melayu Singapura tidak mahu lagi menerima alasan yang tidak munasabah dari pihak-pihak yang berkewajiban termasuk Pemerintah sendiri kerana alasan-alasan itu bercanggah langsung dengan apa yang telah ditanda-tangani oleh Pemerintah Singapura dalam Konvensyen tersebut. Rakyat Singapura yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sudah hilang keyakinan dengan ketelusan pemimpin Melayu Islam pemerintah dan pihak-pihak lain yang berkewajiban kerana kegagalan mereka dalam bertindak adil dan jujur untuk menamatkan terusnya berlaku diskriminasi terhadap wanita Melayu dan kaum lain yang beragama Islam untuk bertudung sebagai seorang jururawat. Rakyat Melayu Islam Singapura khususnya dan semua Rakyat umumnya berhak bersuara apabila berlakunya ketidak-adilan dalam melaksanakan dasar yang jelas mendiskriminasikan wanita Melayu dan kaum lain yang ingin bertudung sebagai seorang jururawat.
Saya secara peribadi kedepan dalam usaha ini melalui wadah lelaman FB ini dengan usaha semampu saya untuk mendesak campur tangan dan kebijaksanaan Pemerintah supaya menghentikan diskriminasi terhadap wanita Melayu dan kaum lain yang ingin bertudung sebagai seorang jururawat. Usaha ini adalah lanjutan daripada usaha-usaha lain yang telah saban tahun berlaku di mana orang Melayu Islam hanya mampu merayu dengan penuh adab dan sopan melalui wadah-wadah yang sedia ada ataupun diadakan. Tiap kali jawapan pihak berkewajiban dan juga Pemerintah sama sahaja malah telah menimbulkan kemarahan rakyat Melayu Islam Singapura yang menganggap ini sebagai mencabar dan memperlekehkan maruah wanita bangsa Melayu dan wanita kaum lain yang beragama Islam dan juga maruah orang Islam umumnya. Namun kita masih bersabar, berusaha terus dan berharap.
Melalui wadah ini mudah-mudahan ia akan menjadi tempat menyuarakan dengan jelas dan lantang kepada semua Rakyat Singapura bahawa orang Melayu Islam memang merasa didiskriminasikan oleh dasar-dasar pihak-pihak berkewajiban yang menghalang wanita-wanita Islam tak kira bangsa yang ingin bertudung dari bertudung semasa menjalankan tugas sebagai seorang jururawat. Wadah ini juga akan menjadi sumber maklumat untuk usaha-usaha lain yang akan dijalankan seperti rapat-rapat umum untuk menjelaskan isu ini jika tindakan itu diperlukan memandangkan jawapan yang bakal diterima dari pihak yang berkewajiban dan Pemerintah sendiri. Rakyat Melayu dan kaum lain yang beragama Islam juga harus mempertimbangkan untuk membawa isu diskriminasi ini langsung ke makhamah untuk mendapat pengadilan berdasarkan undang-undang Negara dan undang-undang antarabangsa demi membela hak kebebasan kaum Hawa kita yang ingin bertudung dan bekerjaya sebagai seorang jururawat.
Jika pemerintah melihat usaha ini sebagai suatu yang ingin menimbulkan huru-hara dan kekecohan di masyarakat, itu adalah silap kerana ini adalah usaha murni seorang rakyat yang menggunakan wadah yang ada dan dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan rasional. Tiada apapun muslihat memecah belahkan rakyat malah sebaliknya ia adalah usaha menjalinkan jembatan kepada semua Rakyat Singapura tidak kira apapun bangsa dan agama, terhadap isu diskriminasi yang telah bertahun-tahun berlaku kepada wanita Melayu dan bukan Melayu yang beragama Islam kita dalam isu bertudung sebagai seorang jururawat.
Pemerintah juga harus bersikap terbuka selari dengan kemajuan baik mereka untuk mendengar keluhan Rakyat yang kurang senang terhadap isu-isu semasa. Ia juga boleh jujur mempertimbangkan tujuan usaha ini dan usaha-usaha lain dengan tujuan yang sama yang telah bertahun-tahun berlaku di mana rayuan dan desakan dilaksanakan secara aman, jelas dan rasional melalui hujah-hujah yang munasabah, hanya untuk diketepikan tanpa penghujung dan tidak tahu berapa lama lagi penyelesaiannya. Adalah kesilapan besar untuk Pemerintah terus mengenepikan dan mempelekehkan isu maruah wanita Melayu Islam yang telah lama menjadi pekung yang menyakiti rakyat Melayu Islam Singapura. Semoga Pemerintah benar-benar mengkotakan nilai keadilan yang termaktub dalam ikrar Negara yang kita saling pegang sesama rakyat.
Sebenarnya isu ini adalah isu yang seharusnya sudah lama diselesaikan dengan cara perbincangan dengan penuh kejujuran, berhikmah dan adil. Hakikatnya ialah isu ini masih lagi membelenggu kita dan ia hanya mencerminkan kelemahan kuasa menyuara pemimpin Melayu Islam kita dan pada masa yang sama kurang keprihatinan oleh Pemerintah yang mungkin belum benar-benar mendengar keluhan perasaan orang Melayu terhadap isu ini yang jelas berupa isu diskiriminasi yang mengguris hati kita semua. Semoga usaha ini mendapat sokongan sewajarnya oleh semua pihak yang berkewajiban dan Pemerintah juga dengan bertindak mengakhiri diskriminasi terhadap segolongan Rakyat kita. Ini akan menunjukkan kematangan kita sebagai sebuah masyarakat Singapura yang rasional, beretika, waras dan bersikap adil terhadap semua rakyat.
Majulah Singapura!!!
Source: Singaporeans For Ending Discriminatory Practices Towards Muslim Women