Prestasi Firma Melayu/Islam Bertambah Baik

Syarikat Melayu/Islam terbesar di Singapura telah dapat memperbaiki penilaian dalam senarai berprestij, Singapore 1000 (S1000) dan Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) 1000.

Second Chance Properties (SCP) Ltd dan Mes & JPD Housing telah memperbaiki kedudukan mereka tahun ini dengan masingmasing dalam senarai S1000 dan SME1000 yang dikeluarkan firma DP Information Group.

SCP kini menduduki tangga ke-144 berdasarkan jumlah pasaran permodalannya sebanyak $209.5 juta di kalangan 500 syarikat yang disenaraikan di SGX.

Tahun lalu, SCP yang diasaskan Encik Mohamed Salleh Marican menduduki tangga ke-383.

Syarikat dinilai berdasarkan penyata kewangan yang diaudit dari 1 Jun 2014 hingga 31 Mei 2015.

“Permodalan pasaran Second Chance meningkat disebabkan keuntungan bersih kami yang menjulang. Lebih ramai pelabur yang membeli saham kami, lantas meningkatkan permodalan pasaran,” ujar Encik Salleh, yang dihubungi semalam.

“Menjelang 2020, visi SCP ialah mencapai permodalan pasaran sebanyak $1 bilion.”

Namun, disebabkan kelembapan ekonomi sejagat dan kenaikan kadar faedah, kuasa membeli pelanggan berkurangan dan ia dijangka menjejas permintaan dan keuntungan Second Chance tahun ini, tambah beliau.

Sebuah lagi syarikat dalam S1000 ialah PropNex Realty yang diasaskan Encik Ismail Gafoor.

PropNex menduduki tangga ke-196 daripada pulangan terhadap ekuiti (ROE).

ROE mengukur keuntungan yang dijana syarikat berdasarkan dana yang dilaburkan pemegang sahamnya.

Dalam senarai SME1000, Mes & JPD Housing, milik Encik Mohd Abdul Jaleel Shaik Mohamed, naik 11 tangga untuk mencapai tangga ke-36 tahun ini dalam senarai SME1000 bagi keuntungan bersih.

Ini bermakna di kalangan SME1000 yang mempunyai keuntungan bersih terbanyak, Mes & JPD menduduki tangga ke-36 dengan keuntungan bersih sebanyak $17.9 juta.

Mes & JPD memiliki dormitori bagi penginapan pekerja asing di Singapura.

Encik Jaleel ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Mini Environment Services, yang merupakan syarikat induk Mes & JPD.

“Untuk berkembang, seseorang harus mengongsi pertumbuhan perniagaan tersebut dengan masyarakat,” kata Encik Jaleel, yang memang diketahui sebagai seorang yang pemurah.

Sejak 2010, beliau telah menderma $500,000 kepada Dana Wang Saku Sekolah (SPMF) The Straits Times dan memberi tambahan $50,000 tahun lalu sempena ulang tahun Singapura yang ke-50.

Sebuah lagi syarikat dalam SME1000 ialah cabang antarabangsa PropNex, PropNex International, yang tersenarai dalam kategori keuntungan bersih dan penjualan.

PropNex International, yang memasarkan hartanah di luar negara, meraih keuntungan $2.3 juta dan menduduki tangga ke-414 bagi senarai SME1000 yang mempunyai keuntungan bersih tertinggi.

Di bawah senarai penjualan tertinggi, ia menduduki tangga ke-424 dan mencatatkan penjualan sebanyak $24.2 juta.

Mustafa Holdings, yang memiliki bangunan Mustafa Centre, berada di tangga ke-317 dengan keuntungan bersih sebanyak $3 juta.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *