Jawatankuasa Korban Masjid-masjid Singapura (JKMS) hari ini (1 Ogos) mendedahkan, lebih separuh daripada 3,500 ekor kambing yang akan diimport untuk ibadah korban, sudah ditempah orang ramai.
JKMS menambah, dengan perkembangan itu, lima buah masjid yang menawarkan kambing korban dari Australia, akan berhenti mengambil tempahan.
Kelima-lima masjid tersebut ialah:
Masjid Assyakirin,
Masjid Ar-Raudhah,
Masjid Al-Mukminin,
Masjid Al-Istighfar dan
Masjid Darul Makmur.
Peruntukan kambing Australia bagi dua lagi masjid, iaitu Masjid Al-Iman dan Masjid En-Naeem, juga dijangka habis ditempah dalam masa yang terdekat, menurut JKMS lagi.
Bagi tempahan kambing biri-biri dari Ireland pula, JKMS menambah kesemua 13 pusat yang menawarkannya juga melaporkan setengah daripada bekalannya sudah ditempah.
Lantaran itu, JKMS menggalak orang ramai yang mahu menjalankan ibadah korban tahun ini, supaya membuat tempahan awal supaya tidak kecewa.
Sebelum ini, JKMS menyatakan ia akan membawa masuk sejumlah 3,500 ekor kambing biri-biri dari Australia dan Ireland, dan tempahan boleh dibuat sehingga 28 Ogos ini.
Harga seekor kambing biri-biri Australia ialah S$490 – sama seperti tahun lalu.
Bagi kambing biri-biri Ireland pula berharganya S$556 seekor, S$14 lebih murah berbanding tahun lalu.
Source: Berita MediaCorp