Langkah Pastikan Presiden Dari Minoriti Dipilih Bukan Setakat “Lambang” Semata-Mata

Pindaan-pindaan yang disarankan untuk memastikan kaum minoriti diwakili dalam sistem Presiden Dipilih (EP) bukan setakat sebagai “lambang” semata-mata, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau berkata para calon Presiden dari kaum minoriti harus memenuhi kriteria yang sama dengan calon-calon lain.

Dalam wawancara eksklusif dengan Mediacorp yang disiarkan hari ini (4 Sep), PM Lee berkata pindaan-pindaan yang disarankan pada sistem EP merupakan “simbolisme amat perlu” tentang apa itu Singapura sebagai masyarakat berbilang bangsa.

Beliau juga berkata ia isu yang penting dan dekat di hati beliau, dan beliau tidak mahu “menyerahkannya kepada penggantinya”.

PM LEE: KAUM MINORITI AKAN DAPATI SUKAR DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN

Merujuk kepada tinjauan tentang hubungan antara kaum yang dijalankan baru-baru ini oleh Channel NewsAsia dengan Institut Pengajian Dasar (IPS), PM Lee berkata orang ramai lebih cenderung kepada seseorang dari kaum mereka sendiri untuk menjadi Presiden.

“Dan natijah semula jadi orang ramai lebih cenderung kepada seseorang dari kaum mereka sendiri ialah, Presiden dari kaum minoriti akan mendapati sukar untuk dipilih, jadi kami harus lakukan sesuatu tentangnya, dan kami boleh lakukan sesuatu tentangnya,” ujarnya.

PM Lee berkata contoh-contoh lain diteliti ketika mempertimbangkan pindaan pada perlembagaan, termasuk Kanada, New Zealand dan Switzerland.

Di Kanada contohnya, beliau berkata ada warga Kanada yang berbahasa Inggeris dan ada yang berbahasa Perancis, yang membentuk sekitar 22 peratus penduduk di sana. Namun ketika memilih Jeneral Gabenor Kanada, mereka memilih antara kedua-dua kumpulan secara berganti-ganti.

“Jadi golongan yang berbahasa Perancis diwakili secara berlebihan, namun ia sesuatu yang mereka anggap perlu kerana ia memikirkan kepentingan kaum minoriti,” kata PM Lee.

TIADA JALAN MUDAH DIPILIH JADI PRESIDEN DAN MASUK ISTANA

Menyentuh beberapa keprihatinan daripada kaum minoriti bahawa mereka tidak mahu calon Presiden dari kalangan mereka dilihat sebagai mendapat jalan mudah masuk ke Istana, PM Lee berkata: “Saya rasa ini sesuatu yang boleh difahami dan ia mencerminkan kejayaan sistem meritokrasi kami yang sudah kami pupuk dalam setiap warga.

“Orang ramai mahu berjaya atas dasar merit mereka sendiri dan tiada orang mahu mendapat jalan mudah dan dilihat seolah-olah piawai sudah longgar, dan saya fikir kami perlu pastikannya, jadi apa sahaja mekanisme yang kami lakukan, kami harus pastikan kriteria kelayakan yang sama mempunyai piawai yang sama, dan tiada sebarang kelonggaran diberikan, dan tiada sebarang rasa ragu-ragu bahawa orang yang dipilih itu bermutu dan ada individu minoriti yang melayakkan diri.”

Beliau menarik perhatian bahawa sebelum Singapura mempunyai Presiden yang Dipilih, para Presiden dilantik oleh Parlimen – Encik Yusof Ishak, Encik Devan Nair, Encik Benjamin Sheares dan Encik Wee Kim Wee – dan mereka semua sangat layak untuk jawatan itu.

“Mungkinkah mereka menang pilihan raya? Itu bergantung kepada siapa yang bertanding, bagaimana ia diadakan, namun mereka dilantik oleh Parlimen, dan mereka berkhidmat dengan cemerlang, dan saya fikir kami mahukan mekanisme yang boleh menghasilkan natijah seperti ini, kepelbagaian seperti ini sebagai natijah yang terjamin, yang kami tidak ada sekarang ini,” kata PM Lee.

SARAN PILIHAN RAYA KHAS UNTUK KAUM MINORITI 

Merujuk kepada pelbagai saranan berlainan yang diserahkan kepada atau dibentangkan kepada Suruhanjaya Perlembagaan, PM Lee menarik perhatian ia termasuk memilih Presiden dari kaum berlainan secara berganti-ganti, mempunyai pasukan presiden terdiri daripada seorang berbangsa Cina dan minoriti, dan mempunyai Presiden dan Naib Presiden dari kaum berlainan.

“Tapi saya fikir cara paling tidak intrusif dan paling ringan untuk melakukannya ialah mengatakan jika semuanya berjalan lancar, kami tidak perlu lakukan apa-apa, tapi jika selepas sekian lama kami tidak mempunyai Presiden dari kaum tertentu, katakanlah empat, lima atau enam penggal, kami tidak ada Presiden dari kaum tertentu, di pilihan raya akan datang, jika calon yang layak dari kaum itu tampil ke hadapan, pilihan raya akan diadakan khas untuk kaum itu sahaja, dan anda akan mendapat Presiden Melayu atau India.

“Jika tiada calon layak tampil, ia terbuka dan anda boleh teruskan dan adakan pilihan raya bebas. Sesiapa menang, menang. Dalam pilihan raya selepas itu, peraturan sama ditetapkan kerana tempoh yang lebih lama sudah berlalu dan sekali lagi, kami lihat sama ada calon layak tampil ke depan.

“Jadi anda mahukan satu mekanisme di mana jika tempoh masa yang lama sudah berlalu, kemudian dalam pilihan raya seterusnya anda mempunyai calon minoriti yang layak, pilihan raya itu hanya akan diadakan di kalangan satu kumpulan minoriti,” jelas PM Lee.

MENGAPA PINDA PRESIDEN DIPILIH SEKARANG?

Dalam wawancara selama sejam itu, PM Lee juga menjelaskan sebab mengapa pindaan-pindaan itu sedang dipertimbangkan, bukan kerana sebarang tekanan dari mana-mana masyarakat.

Kata PM Lee: “Kami bukan dalam situasi di mana kaum minoriti mendesak sesuatu dan kaum majoriti menolaknya dan berkata ‘Kami tidak mahukannya’ – saya rasa ia sesuatu yang kami perlu lakukan.

PINDAAN BUKAN KERANA TERTEKAN OLEH KAUM MINORITI

“Saya mengusahakannya bukan kerana saya rasa tertekan oleh kaum minoriti atau kerana kami perlu lakukan langkah politik, tapi kerana saya rasa ia perkara yang betul yang perlu dilakukan. Ia perkara yang betul untuk dilakukan. Tiada sesiapa memintanya tapi saya rasa ia sesuatu yang perlu kami lakukan dan lakukannya sekarang untuk jangka masa panjang Singapura.”

Tapi mengapa sekarang, 25 tahun selepas sistem Presiden Dipilih (EP) diperkenalkan?

PM Lee berkata ada tiga sebab untuk perkara itu.

Pertama, beliau berkata masalah ini sudah wujud apabila sistem Presiden Dipilih diperkenalkan dan “semua orang ketahuinya, meskipun mereka amat berhemah dan tidak mahu membangkitkan isu ini secara terbuka.”

“Tapi, pada mulanya, kami rasakan kami ada masa. Ia satu masalah, ia bukan masalah yang darurat kerana tidak ada pilihan raya yang sengit. 25 tahun sudah berlalu. Saya rasa kami sudah lihat bagaimana ia berfungsi,” katanya.

Kedua, PM Lee berkata keadaan sudah berubah selepas 25 tahun. Singapura mempunyai seorang Presiden Dipilih dari kaum minoriti, Encik S R Nathan, yang berkhidmat dengan cemerlang namun menang tanpa bertanding dua kali pada 1999 dan 2005.

PM Lee berkata: “Saya fikir beliau sudah menambat hati rakyat Singapura. Namun apabila beliau pertama kali tampil ke hadapan, jika rakyat Singapura tidak mengenalinya dengan baik, saya tidak pasti apa akan terjadi pada pilihan raya itu.”

JIKA PILIHAN RAYA SENGIT, CALON MINORITI BUKAN TIADA PELUANG ADIL

Beliau menambah bahawa pilihan raya 2011, di mana empat calon berbangsa Cina bertanding, menyaksikan persaingan amat sengit dan beliau tidak merasakan bahawa seorang calon minoriti akan mempunyai “peluang yang adil” dalam pilihan raya seperti itu.

“Sebab ketiga mengapa saya lakukannya sekarang ialah kerana ia sesuatu yang saya rasa saya harus lakukan, dan saya tidak seharusnya serahkannya kepada pengganti saya,” kata PM Lee.

“Saya kenal dengan sistem ini. Saya membantu merekanya pada permulaan apabila kami memperkenalkan sistem ini. Saya terlibat dalam operasinya dan memperbaikinya, merekanya, mengubah peruntukannya agar ia berfungsi dengan baik; saya sudah usahakannya dengan Encik Nathan dan Dr Tony Tan sebagai Perdana Menteri.

“Jadi saya tahu masalah ini dan saya rasa saya ada tanggungjawab menanganinya dan saya fikir saya boleh beritahu rakyat Singapura, saya percaya ini sesuatu yang perlu dilakukan, dan saya yakin dan saya mahu lakukannya.

“Dan saya akan yakinkan anda bahawa kami perlu lakukannya dan ia bagus untuk Singapura, dan jika kami tidak lakukannya, saya rasa Singapura akan hadapi masalah bukan hari ini, bukan esok, tapi tentunya dalam masa 10 hingga 15 tahun, 20 tahun akan datang. Kami harus lakukannya sekarang sebelum masalah timbul,” tambah PM Lee.

MEMAHAMI PERANAN PRESIDEN

Ditanya sama ada Pilihan Raya Presiden 2011, yang menyaksikan persaingan sengit, merupakan contoh baik demokrasi memandangkan rakyat Singapura diberi peluang mengundi dan melihat pelbagai calon berbeza bertanding dalam pilihan raya, PM Lee berkata meskipun persaingan itu sesuatu yang baik, ia harus menyentuh isu-isu yang betul dan rakyat mesti faham apa maksudnya.

“Saya rasa masalah yang dihadapi dalam pilihan raya 2011, pada pandangan saya, ramai calon tidak faham atau tidak menerima apa tugas Presiden, apa peranannya dalam perlembagaan dan apa yang perlu dilakukannya setelah dipilih,” kata PM Lee.

“Mereka membuat kenyataan dan janji-janji kepada para pengundi yang saya rasa bukan tanggungjawab atau tugas atau fungsi Presiden.

“Dan jika Presiden cuba lakukan perkara seperti itu, saya fikir sistem tidak akan berfungsi kerana Pemerintah tidak boleh berfungsi.

“Hanya satu Pemerintah boleh wujud, dan Presiden mempunyai peranan dan tugas-tugas tertentu iaitu memegang kunci kedua bagi rizab negara dan rakyat, tetapi bukan memeriksa Pemerintah atau beritahu Pemerintah apa yang harus dilakukannya.

“Dan saya rasa tidak semua calon memahaminya, atau mungkin mereka faham, tapi mereka fikir jika mereka keluarkan kenyataan-kenyataan itu, ia akan membantu mereka menang pilihan raya,” kata PM Lee.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *