15,000 Jurutera Diperlukan Untuk Industri Kereta Api Jelang 2030

Terdapat hampir 10,000 jurutera dalam industri kereta api sekarang ini, namun jumlah itu dijangka meningkat kepada 15,000 menjelang 2030, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (23 Feb).

Encik Khaw, yang juga Menteri Penyelaras bagi Prasarana, berkata sepanjang lima tahun lepas, LTA dan kedua-dua pengendali kereta api, SMRT dan SBS Transit, sudah meningkatkan jumlah pekerja yang diambil mereka untuk kejuruteraan, operasi dan penyenggaraan sebanyak 50 peratus kepada jumlahnya sekarang ini, namun, lebih ramai pekerja diperlukan.

“Menjelang 2030, kami menjangkakan bilangan ini akan meningkat lagi – sekurang-kurangnya sebanyak lagi 50 peratus kepada 15,000. Tapi saya rasa kami akan memerlukan lebih ramai daripada itu. Ini menjadikan industri kereta api sebuah industri pertumbuhan, yang prospek pengambilan pekerjanya hampir dijamin untuk dekad seterusnya,” katanya.

Menteri itu berkata demikian di pelancaran Akademi Kereta Api Singapura hari ini, yang bertujuan membangunkan generasi jurutera akan datang untuk rangkaian infrastruktur kereta api yang kian meluas di Singapura.

Akademi itu ditubuhkan di dalam Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang berpangkalan di Kampus Bedok, dan di situ, para bakal jurutera dan teknisyen boleh meraih kemahiran dan pentauliahan yang diperlukan untuk menyertai industri kereta api. Akademi tersebut juga akan berperanan sebagai pusat kajian dan pengembangan (R&D) untuk kejuruteraan kereta api, dengan menjalankan kajian gunaan bersama institut kajian yang lain serta Institut-Institut Pengajian Tinggi.

Akademi itu kini sedang bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) untuk membangunkan program latihan yang disasarkan kepada para jurutera dan teknisyen yang memulakan kerjaya mereka dalam sektor kereta api, serta para pekerja yang melangkah ke industri itu semasa pertengahan kerjaya.

Program itu sudahpun mengalu-alukan kumpulan pertama hampir 30 jurutera dari SBS Transit, SMRT dan LTA, yang selesai menjalani modul asas selama tiga hari yang pertama kali disediakan, dari 9 hingga 11 Januari. Modul itu meliputi topik-topik seperti aspek kawal selia dan kewangan sistem kereta api Singapura, pemikiran tentang reka bentuk dalam kitaran kejuruteraan kereta api, dan dasar tambang pengangkutan awam.

Dikenali sebagai program Career On-boarding for Railway Engineering (CORE), e2i akan menyediakan geran-geran latihan bagi semua peserta program yang layak. Modul-modul pertengahan dan lanjutan akan juga dibangunkan selaras dengan rangka kerja kecekapan industri kereta api.

MEMBANGUNKAN BAKAT TEMPATAN

Di acara itu juga, satu memorandum persefahaman (MOU) dimeterai antara LTA, Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Majlis Antarabangsa tentang Kejuruteraan Sistem (INCOSE) untuk membangunkan tenaga manusia berkemahiran dalam kejuruteraan sistem untuk menyokong keperluan tenaga manusia dalam pengangkutan awam di sini.

Ketiga-tiga pihak akan bekerjasama untuk membangunkan kurikulum-kurikulum pembelajaran berdasarkan pembangunan industri bagi latihan sebelum pekerjaan dan program-program pendidikan dan latihan yang berterusan.

Sejajar dengan kerjasama itu, LTA juga mengumumkan pembukaan dua makmal di SIT untuk menjalankan latihan dan kursus-kursus untuk para pelajar di program sarjana muda Kejuruteraan Infrastruktur Mampan (Darat) SIT, program sarjana muda Kejuruteraan Sistem (Sistem Elektromekanikal) SIT-DigiPen serta para jurutera.

Sebuah makmal juga dilengkapi dengan sofwe simulator kejuruteraan kereta api untuk membolehkan para pelajar dan pelatih cuba mereka rangkaian kereta api, dan didedahkan kepada pelbagai operasi isyarat kereta api dan simulasi. Sofwe itu diperolehi dari London Underground, dan disesuaikan untuk rangkaian kereta api Singapura.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *