Isu Bahasa & Agama: Tidak Perlu Menghina Pengunaan Sesuatu Bahasa dan Para Penggunanya
Baru-baru ini ada tengkarah mengenai penggunaan bahasa yang digunakan dalam kelas-kelas agama yang dijalankan di sebuah Masjid.
Si ayah mengatakan yang beliau rasa “ditipu” kerana anaknya hadir dalam kelas madrasah sambilan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bukan bahasa Inggeris, sebagaimana yang dikatakan ayah tersebut. Kata-kata yang diluahkan ayah tersebut telah mengundang reaksi yang pelbagai.
Satu bentuk reaksi adalah kehampaan terhadap ayah tersebut yang telah mencemuh pihak Masjid dan juga para pengguna bahasa Melayu.
Sekiranya benar bagai dikata oleh ayah tersebut, maka seharusnya pihak Masjid terbabit pastikan yang kelas-kelas madrasahnya menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa lain. Dan pihak Masjid sudahpun berikan respons yang cepat untuk tangani maklumbalas tersebut dengan segera, sambil memohon maaf.
Namun, pada masa yang sama juga, isu ini sebenarnya dapat ditangani dengan cara yang lebih bijak. Sekiranya nak bawa juga isu ini ke tengah melalui media sosial, pendekatan yang lebih merendahkan diri akan lebih meraih simpati dan sokongan ramai. Dan setentunya, terdapat pilihan lain untuk tangani isu secara bersemuka – bertemu dengan pihak Masjid terbabit dan dapatkan penjelasan secara terus-menerus tanpa melalui hiruk-pikuk media sosial sebagai perantaraan.
Satu perkara yang susah untuk dilepaskan atau dibiarkan begitu sahaja adalah sikap yang tertonjol jelas melalui episod ini.
Apakah yang sikap tersebut?
Iaitu sikap negatif terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran Agama. Episod ini, tidak secara langsung, mempamerkan betapa bahasa Melayu dan para penggunanya dipandang begitu rendah sekali oleh sesetengah golongan yang kelihatannya seperti berbangsa Melayu. Dan pandangan negatif itu menjadi lebih negatif apabila ianya dibawa ke dalam konteks pengajaran Agama.
Mengapakah sampai begitu negatif sekali tanggapan sesetengah pihak terhadap penggunaan Bahasa Melayu dan para penggunanya, apatah lagi dalam konteks pengajaran Agama?
Dan di sini juga, bukanlah berniat untuk mempertikaikan penggunaan Bahasa Inggeris dan penggunaan dalam pengajaran Agama.
BUKAN.
Nak pakai Bahasa Inggeris, pakailah. Silakan.
Isunya adalah, apakah perlu memperlekehkan Bahasa Melayu dan para penggunanya dalam kontek mempertikaikan apa yang dikatakan dijanjikan oleh pihak Masjid terbabit berbanding apa yang disajikan dalam kelas?
Tidak ada sesiapapun akan mempertikaikan hak seseorang untuk mendapatkan apa yang dijanjikan oleh pihak lain. Dan sekiranya didapati betul akan tuntutan hak tersebut, pihak yang menjanjikan memang seharusnya memenuhi janji tersebut dan memohon maaf sekiranya tidak melaksanakan janji tersebut.
Namun, dalam menuntut hak tersebut, tidak perlu untuk melakukannya dengan cara menghina sesuatu bahasa dan para penggunanya.
Source: Mohd Khair