10 Lulusan Pengajian Melayu NUS Terima Ijazah Kepujian – Jumlah Terbesar Sejak 2011

Seramai 10 mahasiswa di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) tahun ini lulus dengan ijazah kepujian. Salah seorang daripada mereka malah menerima ijazah kepujian kelas pertama.

Jumlah tersebut adalah yang paling besar sejak program ijazah kepujian diperkenalkan bagi Pengajian Melayu di universiti itu sekitar enam tahun lalu.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu NUS, Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman memberitahu BERITAMediacorp, sejak program ijazah kepujian pengajian itu dimulakan pada tahun 2011, jumlah mahasiswa yang mengikuti Pengajian Melayu sebagai jurusan utama tidak pernah berkurangan, dengan purata enam mahasiswa bagi setiap tahun akademik.

“Dalam tempoh lima hingga enam tahun ini purata mahasiswa (yang lulus dengan ijazah kepujian) Pengajian Melayu kira-kira enam orang. Pada tahun 2014, kami mempunyai tiga mahasiswa saja, setelah itu jumlahnya sama ada lima atau enam. Dan yang baru tamat pengajian ini seramai 10 orang,” kata Dr Noor Aisha, sambil menambah jumlah itu tidak termasuk mahasiswa yang mengambil Pengajian Melayu sebagai subjek minor ataupun elektif.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/ BERITAMediacorp)

NUR ZAKIAH – LULUS IJAZAH KEPUJIAN KELAS PERTAMA

Dr Noor Aisha turut memberitahu BERITAMediacorp, pihaknya juga sedang giat berusaha untuk menarik lebih ramai bakal mahasiswa supaya mengikuti Pengajian Melayu sebagai jurusan utama. Namun usaha untuk menarik minat mereka supaya mengikuti Pengajian Melayu bukan sesuatu yang mudah. Sebaliknya menurut Dr Noor Aishah, ia adalah satu “masalah yang sudah lama wujud”.

“Sejak sekitar 20 tahun lalu, saya rasa tidak ramai yang mengikuti (Pengajian Melayu) sebagai jurusan utama. Sekarang, dengan lebih banyak jurusan yang ditawarkan (di universiti), bermakna terdapat lebih banyak modul, lebih banyak peluang bagi mahasiswa. Jadi ia memang mencabar bagi kami untuk mendapatkan jumlah besar mahasiswa yang mengikuti Pengajian Melayu,” ujar Dr Noor Aisha lagi.

Contohnya, Nur Zakiah Abdul Hamid merupakan satu-satunya lulusan ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama jurusan Pengajian Melayu bagi tahun akademik 2016/2017. Beliau juga menjadi pemenang Hadiah Yayasan Warisan Melayu.

(Gambar: Nur Zakiah Abdul Hamid)

Hakikatnya, jurusan itu bukanlah pilihan pertama beliau. Namun setelah mengikuti modul mengenai Islam di Singapura yang ditawarkan oleh jabatan tersebut, beliau mula ‘jatuh cinta’.

“Saya suka Pengajian Melayu kerana ia begitu menyeluruh. Ia mencakupi bidang politik, sosiologi, antropologi. Dulu semasa saya di Maktab Rendah, saya tak begitu berminat dengan isu-isu masyarakat Melayu, disebabkan tanggapan tertentu, yang negatif yang sudah terbentuk dalam minda,” Nur Zakiah, 23 tahun, memberitahu BERITAMediacorp.

Ternyata, manfaat yang diperolehi dari pengajiannya selama empat tahun itu berhasil membangunkan keupayaan Nur Zakiah untuk berfikir secara kritikal dan beliau kini “lebih bangga dengan masyarakat Melayu” serta terdorong untuk membantu masyarakat sendiri.

ORANG MELAYU TAK PERLU BELAJAR TENTANG MELAYU?

Antara usaha yang dijalankan Jabatan Pengajian Melayu NUS untuk mendampingi para pelajar dan juga masyarakat bagi memperkenalkan kepada mereka tentang jabatan dan jurusan itu termasuklah mengadakan ceramah dan sesi pengenalan.

Dalam pada itu, tujuan usaha tersebut adalah untuk menjelaskan dan melenyapkan salah tanggapan yang biasa dikaitkan dengan Pengajian Melayu.

“Sering juga saya perlu menekankan bahawa tumpuan kami bukan untuk melatih mahasiswa menjadi guru kerana itu skop Institut Pendidikan Nasional (NIE). Kami juga tidak mengajar bahasa. Tenaga pengajar kami juga kecil jadi kami menumpukan perhatian kepada pengajaran bahasa menerusi kesusasteraan Melayu.

“Tapi kurikulum kami begitu luas kerana ia termasuk politik, agama, sejarah, isu-isu pemodenan dan cabaran-cabaran perubahan,” kongsi Dr Noor Aisha kepada BERITAMediacorp.

(Gambar: Nur Zakiah Abdul Hamid)

Antara salah tanggapan yang mungkin menjadi faktor mengapa belum ramai yang mahu mendalami Pengajian Melayu, menurut Dr Noor Aisha, termasuk pandangan bahawa “mereka orang Melayu jadi mereka sudah tahu semua hal tentang orang Melayu”.

“Saya juga perlu menjelaskan bahawa kami mengambil pendekatan sains sosial berbilang bidang dalam pengajian Melayu. Mereka tidak akan tahu konsep, teori dan perspektifnya jika tidak dilatih dengan betul. Mereka tidak akan dapat bercakap tentang masyarakat dan sesuatu subjek dengan cara yang sistematik.

“Hanya setelah para mahasiswa mengikuti pengajian ini, mereka akan dapat melihat perbezaan antara yang mengikutinya dengan yang tidak mengikutinya,” kata Dr Noor Aisha.

Bagi Nur Zakiah sendiri, meskipun topik utama pengajian itu adalah mengenai Melayu, beliau menegaskan “kita mesti memahami bahawa jurusan Pengajian Melayu juga berbilang bidang dan mengikut konteks Singapura”.

“Pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari tentang masyarakat kita. Kita sekarang hidup dalam era global, jadi sentiasa akan ada isu-isu kontemporari yang masih tidak diketahui.

“Bagi saya, saya mengambil jurusan ini kerana saya mahu berdepan soalan-soalan tentang identiti. Saya rasa itulah yang menarik tentang Pengajian Melayu,” Nur Zakiah memberitahu BERITAMediacorp.

(Gambar: Nur Zakiah Abdul Hamid)

PENGAJIAN MELAYU – BUKAN SETAKAT JADI GURU BAHASA MELAYU

Dari segi prospek pekerjaan, Dr Noor Aisha berkata itu tidak menjadi masalah. Meskipun ramai yang menyangka siswazah Pengajian Melayu setakat menjadi guru bahasa Melayu, lulusan pengajian jabatan itu sudahpun membuktikan mereka mampu menebarkan sayap dalam bidang-bidang pekerjaan yang menjangkaui bidang pendidikan.

Menurut Dr Noor Aisha, kebanyakan daripada kohort yang baru saja menerima ijazah kepujian mereka pada 10 Julai lalu sudahpun mendapat pekerjaan.

“Lulusan kami selalunya tiada masalah untuk mendapatkan pekerjaan dalam tempoh yang singkat (selepas tamat pengajian). Misalnya kohort yang baru ini, saya tahu tujuh daripada mereka sudah mendapat kerja,” kata Dr Noor Aisha.

Malah, beliau menambah, lulusan dari kohort-kohort yang lain juga tidak semua yang menjadi guru bahasa Melayu, dengan ramai bertugas sebagai karyawan dalam sektor privet dan kakitangan awam lainnya.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *