Grain: Restoran Online Halal, Tawarkan Makanan Sihat

BERITAMediacorp: Hasrat untuk mencipta pengalaman makanan yang menyeronokkan mendorong empat orang sahabat untuk membangunkan perniagaan restoran secara online, bernama Grain.

Grain mendapat sijil halal sekitar dua bulan lalu (Sep 2016), setelah dua tahun dibuka.

Perniagaan itu kini berwajah baru dengan khidmat laman web dan aplikasi mudah alih yang memudahkan pelanggan untuk menempah makanan yang sihat.

Antara makanan sihat yang ditawarkan termasuk Ayam Kampung Segar Panggang (Grilled Farm Fresh Chicken), Ikan Salmon Norwegian (Norwegian Salmon) dan Labu Kayu Manis (Cinnamon Pumpkin).

Usaha itu juga dimanfaatkan di tengah-tengah persaingan antara khidmat penghantaran makanan online lain di Singapura sekarang ini.

PENGALAMAN MAKAN YANG MENYELURUH

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta pengasas bersama Grain, Encik Yong Yi Sung, memberitahu bahawa syarikatnya ingin memberikan pengalaman makan yang menceriakan para pelanggan.

“Pengalaman makan yang menyeronokkan adalah lebih daripada sekadar makanan. Kami menyertakan maklumat makanan, bahan-bahan dan nilai pemakanan bersama makanan yang ditempah. Dan, bagi pelanggan kali pertama, kami juga memberikan kad sambutan kepada mereka,” kata Encik Yong kepada BERITAMediacorp.

“Kami menyediakan pengalaman pelanggan dari hujung ke hujung yang menyeluruh, dari memilih bahan-bahan hingga ke penghantaran makanan oleh kakitangan Grain sendiri,” tambahnya.

Grain menawarkan pilihan makanan Asia, makanan sihat dan pencuci mulut. Ini termasuklah hidangan Nasi Ayam Samsui (Samsui Chicken Rice), Daging Thai dengan Daun Selasih (Thai Basil Beef) dan Salada Ayam Thai (Thai Chicken Salad).

KOLABORASI BERSAMA RESTORAN HAJAH MAIMUNAH

Grain turut bekerjasama dengan Restoran Hajah Maimunah sepanjang minggu lalu untuk menyediakan hidangan Rendang Daging Hjh Maimunah dengan Urap dan Nasi Perang Ubi Bit.

Encik Yong memberitahu BERITAMediacorp: “Kami mencari rakan kongsi yang berkongsi falsafah yang sama iaitu untuk menawarkan makanan yang enak dan bermutu tinggi. Grain juga tidak menggunakan makanan yang dibekukan atau diproses.”

“Hajah Maimunah menepati ciri itu dan kami sebulat suara memilih hidangan rendang daging untuk kolaborasi selama seminggu itu,” jelasnya.

Grain menawarkan dua pilihan menu- menu tetap dan menu yang ditukar setiap minggu. Buat masa ini, syarikat itu hanya menyediakan hidangan dan khidmat hantar makanan untuk makan tengahari.

KONSEP RESTORAN ‘CLOUD’

Encik Yong turut mendedahkan bahawa keinginan mereka untuk membuka sebuah restoran online disebabkan harga sewa tanah yang semakin tinggi.

“Membuka restoran secara online adalah pilihan lebih baik daripada di sebuah kawasan khusus kerana kami dapat berada di mana sahaja.

“Malah, kami menggelar syarikat kami sebagai ‘restaurant on the cloud’ atau restoran dengan ruang simpanan online,” kata Encik Yong.

MATLAMAT ‘RESTORAN TERBESAR TANPA KEDAI’

Grain kini mempunyai sekitar 60 orang kakitangan termasuk 15 orang cef di dapur mereka yang terletak di Bangunan Makanan Tee Yih Jia.

Menurut Encik Yong, mereka juga berharap dapat mencapai sasaran yang besar dalam masa lima tahun.

“Persaingan di kalangan khidmat hantar makanan semakin sengit, tetapi kami bukan hanya menyediakan servis itu. Kami berbeza daripada khidmat tersebut.

“Dalam masa lima tahun, kami berharap dapat menjadi restoran yang terbesar tanpa sebuah kedai yang fizikal,” katanya.

Khidmat makanan Grain tersedia menerusi laman www.grain.com.sg atau aplikasi telefon bijak.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *