Penyanyi Elfee Ismail Luah Isi Hati Tentang Kehilangan Anak Kembar 3

Kegembiraan penyanyi Singapura ini tidak terhingga kerana akan mendapat anak kembar tiga! Kandungan juga sudah mencecah empat bulan.

Namun, berita ceria itu bertukar menjadi begitu hiba dalam sekelip mata saja.

Segala-galanya ‘hilang’ dalam tempoh tiga minggu sahaja. Itulah dugaan besar yang terpaksa ditempuhi Elfee Ismail dan isterinya, menjelang bulan Ramadan ini.

Kembar tiga yang dikurniakan kepada Elfee Ismail dan isterinya, Fauziah Mohamad, kedua-duanya 35 tahun, sememangnya dianggap sebagai zuriat yang amat dinanti-nantikan. Mentelah lagi selepas 11 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Kini, Elfee dan isterinya terpaksa mencari kekuatan baru dan menerima hakikat bahawa mereka kehilangan ketiga-tiga bayi mereka itu, dan kembali ke petak permulaan.

“Buat masa ini, kami okay. Namun, kadangkala, agak sukar kerana isteri saya akan teringat-ingat pada waktu malam,” kata Elfee, yang juga anak kepada penyanyi veteran R Ismail.

“ANAK EMAS YANG SAYA NANTI-NANTIKAN”

Elfee memberitahu BERITAMediacorp bahawa mereka tergerak hati untuk berusaha dan ke Hospital KK bagi menjalani prosedur Intrauterine Insemination (IUI) atau permanian beradas intrauterine, pada Januari lalu.

“Selepas dua minggu menjalani prosedur itu, kami suami isteri gembira tidak terhingga sehingga menangis bersama, apabila isteri disahkan hamil.

“Saya begitu taat menjaga isteri, sehingga tidak mengizinkan dia membuat apa-apa kerja di rumah. Saya akan lakukan segalanya kerana bagi saya, itu adalah anak emas yang saya nanti-nantikan selama 11 tahun,” luah Elfee.

Bagaimanapun, bagi bulan-bulan berikutnya, isterinya mengalami komplikasi kandungan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama sebulan.

Malah, beliau juga tidak dibenarkan bergerak dari katil (totally rest in bed) sehinggakan terpaksa mandi di atas katil hospital.

ELFEE: KAKI BAYI PERTAMA SUDAHPUN TERJUNTAI

“Namun, pada 1 Mei lalu, sewaktu saya berada di lobi hospital, dan apabila isteri ingin membuang air kecil di katil, saya mendapat panggilan telefon darinya bahawa, ada benda yang terjuntai dan dia perlukan saya naik dengan segera.

“Apabila saya naik, saya ternampak kaki bayi saya yang sulung terjuntai dan keluar dengan sendirinya. Jururawat kemudian mengisytiharkan bahawa bayi saya sudah meninggal dunia,” kongsi Elfee kepada BERITAMediacorp.

Bayi tersebut turut dikebumikan di Pusara Aman pada hari yang sama. Malah, menurut Elfee, selepas keguguran pertama itu, isterinya kian beransur pulih dan dibenarkan pulang untuk berehat di rumah.

Namun, seminggu kemudian, isterinya itu terpaksa dimasukkan semula ke hospital selama tiga hari kerana mengalami pendarahan, sebelum dibenarkan pulang sejurus selepas itu.

TERIMA BERITA SEWAKTU LATIHAN SINAR LEBARAN

Bagaimanapun, pada 23 Mei, isteri Elfee mengalami pendarahan sekali lagi di rumah sewaktu Elfee sedang menjalani latihan bagi rakaman rancangan Sinar Lebaran 2017.

(Gambar: Rudy Djoe/ Facebook)

Beliau kemudian mendapatkan bantuan kakak serta rakan isterinya untuk menemani isterinya ke hospital.

“Selepas latihan di Mediacorp, saya menerima kiriman WhatsApp daripada kakak ipar saya, yang bertanya sama ada saya sudah dalam perjalanan ke hospital. Sepanjang perjalanan, saya tidak tenteram dan tidak berasa sedap hati lalu menghubungi kakak ipar saya dan bertanya khabar lagi.

“Kakak ipar saya kemudian memberitahu menerusi telefon sambil menyuruh saya tabah dan kuat untuk menerima berita bahawa kedua-dua bayi dalam kandungan sudahpun meninggal dunia. Bayi kedua saya keluar dgn sendirinya di O&G Hospital KK, dan setengah jam kemudian, bayi ketiga saya juga keluar dengan sendirinya di wad,” cerita Elfee kepada BERITAMediacorp, mengungkap peristiwa mengharukan itu.

TERBAYANG-BAYANG WAJAH ANAK YANG DIMANDIKAN

Malah, kedua-dua anaknya itu turut dikebumikan pada hari rakaman bagi Sinar Lebaran 2017. Pergolakan hebat yang berlaku dalam jiwa penyanyi tersebut ketika itu, Tuhan sahaja yang tahu.

“Pada malamnya, saya harus membuat persembahan bagi Sinar Lebaran, dan saya tidak dapat menyanyikan lagu secara solo kerana terbayang-bayang rupa bayi-bayi saya sewaktu dimandikan dan dikebumikan sehingga saya terhenti menyanyikan lagu tersebut,” Elfee memberitahu BERITAMediacorp.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penonton di studio dan juga para artis lain yang memberikan semangat untuknya dapat meneruskan persembahan.

Yang pasti, bulan Ramadan tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah diharungi bagi pasangan suami isteri ini. Meskipun begitu, kesungguhan mereka untuk terus tabah wajar dijadikan iktibar.

(Gambar-gambar: Elfee Ismail/ Facebook)

“Kami cuba untuk meneruskan kehidupan dari sini, tabah dan reda. Ada hikmah disebaliknya, mungkin untuk selamatkan nyawa ibu atau kemungkinan Allah ada rancangan yang lain buat kita.

“Alhamdullilah kesemuanya sudah dikebumikan dengan selamat dan semoga saya dan isteri dapat bertemu ketiga-tiga bayi kami di akhirat nanti insya-Allah,” luah Elfee lagi kepada BERITAMediacorp.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *