Seorang pendatang asing ke Jerman yang memuat naik gambar bayinya ke laman eBay untuk dijual, dilarang berjumpa dengan anaknya yang baru berusia enam minggu tanpa penyeliaan.
Bayi yang bernama Maria itu dijual di laman bidaan online tersebut oleh bapanya. Bayi itu kini sudahpun berada di bawah unit jagaan khas di Duisburg di North Rhine-Westphalia, Jerman Barat, lapor Daily Mail.
Mahkamah kelurga di bandar itu mengarahkan ibu bayi berkenaan supaya berpindah ke unit yang sama namun bapanya hanya dibenarkan berjumpa dengan mereka di bawah penyeliaan yang ketat.
Maria ditawarkan dengan harga €5,000 (S$7,600) dengan kapsyen: “Bayi berusia 40 hari ini bernama Maria…untuk dijual”.
Daily Mail melaporkan, bapa bayi itu yang berusia 28 tahun dan berpindah ke Jerman sebagai pelarian baru-baru ini, menyerahkan dirinya kepada polis dan bayi tersebut diambil dan diletakkan di bawah jagaan unit khas sementara keputusan dibuat, sama ada keluarga bayi itu akan dikenakan hukuman jenayah.
Iklan, yang memaparkan gambar-gambar Maria di laman eBay itu dipadam dalam masa 30 minit kemudian sebelum lelaki tersebut menyerah diri.
Pihak pendakwa raya kini sedang menyiasat sama ada lelaki itu perlu dihukum atau tidak setelah dia mendakwa tidak serius dengan iklan tersebut.
Pengarah Kesatuan Demokratik-Kristian di daerah Rheinhausen, Duisburg di mana keluarga mereka tinggal berkata: “Saya berpendapat perbuatan lelaki itu mesti dikenakan tindakan undang-undang”.
“Jika ibu bapa bayi itu tidak mampu menanggung anak mereka dan menjaganya, kami ada menyediakan kemungkinan di Jerman supaya bayi itu diberikan sebagai anak angkat kepada keluarga lain.”
Menurut seorang jurucakap khidmat belia di Duisburg: “Bayi itu sekarang diletakkan di bawah keluarga jagaan, di mana dia akan menetap sehingga keadaan lebih jelas.”
Kedua ibu bapa bayi berkenaan pula kini berada di bawah pemantauan khidmat sosial, lapor Daily Mail.
“Pihak berkuasa perubatan juga menyatakan masih ada kemungkinan Maria dikembalikan kepada ibu bapanya – jika dapat dibuktikan mereka tidak melakukan sebarang jenayah.”
Source: Berita MediaCorp