EKSKLUSIF DARI MEJA EDITOR RILEK1CORNER
Setelah lima bulan beroperasi, kami di Rilek1Corner sangat terharu dengan sambutan meriah daripada para pembaca yang banyak memberikan kami semangat memperkembangkan media alternatif kami ini, baik untuk pembaca yang berbangsa Melayu mahupun mereka yang beragama Islam.
Kami juga menganggap segala kritikan dan sokongan sebagai satu rangsangan dan dorongan untuk terus memajukan hak kebebasan bersuara di Singapura.
Tanpa sokongan anda, siapalah kami di Rilek1Corner.
Namun, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, anggota Rilek1Corner telah menerima ancaman dan ugutan daripada beberapa pihak yang berasa tidak puas hati dengan berita dan surat-surat pembaca yang diterbitkan dengan segera di lelaman kami.
Walaupun segala berita dan informasi yang telah dipublikasikan terdiri daripada media cetak dan juga surat-surat kiriman pembaca yang setia, ada segelintir pihak tertentu berasa kurang senang kerana publikasi-publikasi tersebut mendapat kritikan daripada masyarakat umum.
Ada dua insiden yang boleh dijadikan ikhtibar.
Pertama, ada sekumpulan orang Melayu yang beragama Islam di Singapura telah memperkenalkan diri mereka sebagai ahli kewangan dan pengendali bisnes-bisnes skim cepat kaya. Setelah dimaki-hamun dan dicaci, mereka menuduh para pembaca, anggota Rilek1Corner, dan wartawan-wartawan akhbar Berita Harian Singapura sebagai pengecut, jahil dan iri hati dengan kejayaan mereka meraih duit lumayan dengan senang.
Seperti tidak cukup dengan kata-kata kesat, pihak tersebut juga telah membuat ancaman dan ugutan kepada para pembaca dan juga anggota Rilek1Corner. Ancaman dan ugutan yang dimaksudkan mempunyai unsur-unsur kekerasan fisikal dengan niat mencederakan mereka yang tidak berdosa.
Ugutan dan ancaman kekerasan ini berlaku setelah beberapa surat pembaca, beserta keratan akhbar daripada Berita Harian Singapura, dan juga gambar-gambar pihak yang terlibat telah dimuat-naikkan di Rilek1Corner, hasil perkongsian maklumat dari para pembaca. Siasatan kami mendapati bahawa gambar-gambar tersebut senang diperolehi secara terbuka di Facebook (tanpa sebarang sekatan privasi) untuk menarik anggota-anggota baru menyertai skim cepat kaya tersebut.
Ada juga diantara para pembaca yang telah menjadi mangsa skim cepat kaya yang diperkatakan, dan bersungguh-sungguh ingin berkongsi pengalaman mereka supaya masyarakat umum dapat mengelakkan diri daripada mengalami nasib yang serupa.
Kami di Rilek1Corner juga akur tentang kewajipan moral ini.
Jika betul bisnes, produk atau servis yang diberikan itu bermutu tinggi, seratus-peratus dijamin halal, dan juga sahih dari segi undang-undang, apakah perlu membuat ugutan sehingga ingin mencederakan semata-mata orang lain mempunyai pendapat yang berbeza atau memberi kritikan yang berasas?
Insiden kedua pula mengenai seseorang yang bakal menerajui satu jawatan yang mencabar sebagai pemimpin masa hadapan Islam Singapura yang berkaliber dan berwibawa. Dua minggu yang lepas, beliau telah diumumkan oleh pihak media setempat sebagai salah satu calon parti pembangkang untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Rilek1Corner telah berkongsi keratan akhbar dari sebuah media setempat dan memuat-naikkan butir-butir kelayakan beliau yang diberikan oleh seorang penyokong kuat parti pembangkang tersebut. Menurut pembaca itu, butir-butir kelayakan calon pembangkang tersebut senang diperolehi secara terbuka. Siasatan kami juga mendapati segala informasi yang diberikan senang diperolehi di Internet (tiada sekatan privasi). Namun, kerana rasa tidak puas hati, calon pembangkang tersebut membuat beberapa ugutan kepada Rilek1Corner, dan malangnya ugutan beliau itu mendapat tindak balas yang tidak disangkakan.
Rilek1Corner tidak tahu-menahu tentang apa yang telah dilakukan oleh ahli politik tersebut dan hanya dimaklumkan tentang kejadian tersebut semalam. Dengan jujur, anggota Rilek1Corner sangat kecewa dengan apa yang telah dilakukan walaupun kami telah memberi sokongan padu kepada beliau.
Kalau betul tiada apa yang ingin disembunyikan, apakah perlu berahsia? Sudah lumrah hidup orang politik. Segala hal peribadi akan tersebar buat santapan umum baik publisiti positif ataupun yang buruk, terutama sekali dalam zaman media sosial ini. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya.
Soalan-soalan yang bermain di fikiran kami ialah: Apakah yang maksudkan dengan media alternatif dan hak kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi kita di Singapura yang selama ini menjadi idaman kalbu? Adakah masyarakat Melayu dan juga Islam setempat sudah benar-benar bersedia untuk menerima konsep kebebasan bersuara ini, atau ianya hanya manis dimulut sahaja? Apakah tiada toleransi terhadap pendapat orang lain yang bercanggah dengan pendapat kita? Apakah mereka yang dianggap sebagai ‘public figure’ sudah benar-benar bersedia menerima hakikat bahawa mereka bukan sahaja mendapat sokongan positif, malah akan juga menerima kritikan hebat daripada orang-orang yang tidak mempunyai matlamat yang sama atau visi yang sehaluan.
Kebebasan Bersuara
Kebebasan bersuara ialah kebebasan menyatakan pandangan mahupun fikrah tanpa batas atau penapisan tentang apa yang ingin diperkatakan. Semua masyarakat mempunyai hak kebebasan bersuara tanpa mengira kaum atau pangkat.
Kebebasan bersuara juga merangkumi aspek seperti kebebasan bersuara secara percakapan verbal, tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat atau idea, dengan tidak mengira medium yang digunakan. Kebebasan bersuara juga mempunyai etika dimana cara penyampaiannya beradab dan sopan, tanpa sebarang bahasa kesat.
Jika seseorang manusia itu mempunyai hak berfikir untuk dirinya sendiri dan kebebasan menggunakan mindanya semahunya, maka dia juga haruslah mempunyai hak untuk mengekspresikan dan meluahkan buah fikirannya dan idea-idea dalam bentuk yang konkrit, sama ada dalam bentuk penulisan ataupun lisan.
Tiada sesiapun boleh memaksa kita dirasakan sesuatu perkara itu benar atau salah melainkan kita melihat sendiri kebenarannya. Tiada jumlah paksaan yang akan mampu mengubah persepsi sesiapapun terhadap sesuatu individu, subjek atau benda.
Kebebasan bersuara juga memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi individu-individu yang mempunyai pendapat berbeza. Apabila pendapat segelintir orang tersilap, ianya adalah menjadi kewajipan bagi sekelompok minoriti untuk menyuarakan kebenaran.
Peranan Media Sosial Dalam Menyemarakkan Kebebasan Bersuara
Kewujudan media sosial yang bersifat terbuka, pelbagai dan bebas dari tapisan dan sekatan adalah antara asas penting bagi pembentukan masyarakat demokratik kerana ia menyumbang ke arah kemudahan pengaliran maklumat, idea secara bebas, dan menjamin ketelusan serta kebertanggungjawaban.
Persoalannya ialah, sejauh manakah kebebasan bersuara dalam media sosial ini benar-benar bebas? Apakah hubungan di antara media sosial dan kebebasan bersuara?
Media sosial adalah salah satu cabang atau bentuk ekspresi yang ada di dalam sistem sosial manusia yang luas. Malah kehadiran media sosial itu sebenarnya melengkapi dua lagi gelombang teknologi komunikasi sebelumnya – cetak dan gelombang udara sebagai wahana untuk manusia – baik secara individu atau berkelompok – untuk mengkomunikasikan maklumat, bertukar-tukar idea, pandangan, dan pendapat.
Sebagai satu konsep liberal dan ‘batu asas’ kepada demokrasi barat, kebebasan bersuara bertujuan untuk melindungi ekspresi rakyat jelata dan penyebaran maklumat ke pentas awam daripada campur tangan pihak kerajaan atau sesiapapun.
Jangan kita simpan mentaliti paranoia dan perbuatan melulu yang melampau.
Ugutan, Ancaman Diambil Serius
Rilek1Corner memandang serius terhadap segala ancaman baik terhadap diri kami mahupun ugutan terhadap para pembaca yang hanya ingin menyuarakan pandangan mereka.
Yang lebih membimbangkan ialah perkembangan media sosial yang ingin disekat dan ditapis semata-mata pandangan yang berbeza, walaupun pada hakikatnya segala pendapat telah ditulis atas nama hak kebebasan bersuara dengan cara yang beradap dan sopan.
Peliknya, pihak-pihak yang telah membuat ancaman dan ugutan terhadap kami dan juga pembaca-pembaca budiman, juga merupakan orang-orang yang pernah menegakkan hak kebebasan bersuara dan hak kemanusiaan dengan lantangnya.
Bak kata pepatah, rambut sama hitam hati lain-lain.
BACA ARTIKEL TENTANG WORKERS’ PARTY
BACA TENTANG SKIM CEPAT KAYA GALAXY TRIO & ULTRASONIC SINGAPORE