Jurutera Wanita Lihat Cabaran Sebagai Peluang Timba Ilmu

PROJEK kejuruteraan berskala besar tidak menggentarkan dan mematahkan semangat Cik Azizah Sapari, antara segelintir jurutera wanita yang telah berkecimpung dalam kerjaya kejuruteraan selama hampir tiga dekad, menyahut cabaran tersebut.

Bagi beliau, itulah peluang menimba pengalaman dan mempelajari ilmu yang baru semasa proses pengendalian projek.

Jurutera yang memulakan kerjayanya pada 1988 bersama syarikat MRT Corp (kini dikenali sebagai SMRT Corporation Limited) itu berkata: “Pekerjaan yang saya lakukan sangat dinamik, lantas pengalaman yang diraih, sedikit sebanyak, membentuk keperibadian saya.”

Cik Azizah adalah antara anggota pasukan utama yang terlibat dalam pembangunan Laluan Circle – daripada detik perancangan sehinggalah laluan tersebut mula beroperasi.

Laluan tersebut, yang mula beroperasi pada 28 Mei 2009 dan dibuka secara berperingkat, menelan belanja lebih $5 bilion.

“Saya, bersama anggota yang lain, harus memastikan keandalan, keselamatan dan kecekapan laluan tersebut dijamin bagi penumpang.

“Kami bersengkang mata dan bekerja keras namun pengalaman ketika terlibat dalam projek itulah kemuncak kerjaya saya yang tidak boleh saya lupakan,” ujar beliau.

Walaupun beliau kini berusia 53 tahun, minat yang mendalam terhadap kejuruteraan tidak sedikit pun pudar.

Minat tersebut tersemat tatkala beliau di bangku sekolah lagi semasa menuntut di Sekolah Teknikal Upper Serangoon ketika berusia 13 tahun.

Di sana, Cik Azizah didedahkan kepada kemahiran menukang kayu, memasang wayar, mengolah logam besi dan pelbagai kemahiran teknikal.

“Tambahan pula, kemudahan pembelajaran di sekolah tersebut, seperti makmal dan bengkel latihan, juga amat baik – termasuk kurikulum sekolah yang mempunyai banyak projek amali,” ujar beliau.

Justeru, di kala ramai wanita pada usia remaja ketika itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan selain daripada kejuruteraan, beliau menyahut cabaran dengan menceburi bidang tersebut di Universiti Nasional Singapura selepas tamat peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan ‘A’.

“Pada era ’80-an, kejuruteraan dianggap sebagai pilihan kerjaya yang sangat ‘berani’ bagi seorang wanita menceburinya,” tambah beliau.

Tambahan pula, beliau merupakan antara 17 wanita daripada sekitar 300 pelajar di dalam jurusan tersebut.

Lantaran pilihan berani yang diambilnya, beliau ingin mendorong wanita mengecapi apa jua impian yang dihajatkan.

“Saya ingin menggalakkan wanita di luar sana mengejar impian anda dan mencapai setiap kesempatan yang diperlihatkan kepada anda,” katanya.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *